Bila Anda Perlu Jumpa Kaunselor?
Ramai orang semakin biasa mendengar tentang kaunseling. Sesetengah orang beranggapan bahawa kaunseling adalah tempat meluah, berbincang dan kerja kaunselor adalah mendengar dan memberikan cadangan. Namun, ada yang kurang tepat. Fungsi kaunseling lebih besar dari itu.
Dalam sesi kaunseling, anda akan dibimbing untuk memahami apa yang dilalui, menyusun masalah yang dirasakan berselirat dan memahami prioriti masalah. Anda akan dibantu untuk melihat isu yang dihadapi dengan lebih jelas, seterusnya mengambil langkah yang dirasakan bersesuaian.
1 – Bila Anda Ingin Kesihatan Mental Yang Lebih Baik
Anda Ingin Uruskan Stres Yang Dialami
Stres adalah perkara normal apabila menghadapi sesuatu yang mencabar. Soalnya bagaimana anda bereaksi apabila stres. Adakah cepat marah, geram dan kerap menggunakan kekerasan fizikal seperti memukul atau membaling sesuatu? Melalui kaunseling, anda akan diajar dengan pengurusan stres yang lebih baik, teknik-teknik menyelesaikan masalah untuk mengurangkan rasa stres dalam kehidupan.
Hadapi Kesukaran Menguruskan Emosi
Anda mengalami perasaan-perasaan yang tidak selesa seperti cemas, bingung, cepat terasa dan tidak tahu bagaimana untuk mengawalnya.
Kaunselor boleh mengajar anda teknik mengurangkan rasa cemas, teknik menenangkan anggota badan dan membantu anda memproses perasaan-perasaan yang dialami.
Apabila Anda Menggunakan Mekanisme Daya Tindak Yang Kurang Sihat
Mekanisme daya tindak adalah cara anda berhadapan dengan perkara yang tidak seronok, anda tidak suka, atau sebarang perkara yang dilihat sebagai ancaman. Ada daya tindak yang sihat dan ada yang tidak sihat.
Daya tindak sihat seperti merancang, berbincang dan mampu menyatakan perasaan dengan jelas. Daya tindak tidak sihat pula seperti mengomel, mengelak, memendam perasaan, dan bersikap agresif. Melalui sesi kaunseling, anda akan diajar bagaimana untuk membina daya tindak yang sihat untuk meredakan emosi mahupun menyelesaikan masalah.
2 – Untuk Memperbaiki Diri
Rasa Sukar Untuk Mencapai Matlamat
Anda juga boleh merujuk kaunselor jika rasa buntu, dilema untuk membuat pilihan atau berasa sukar untuk mencapai suatu matlamat. Anda akan dibantu untuk mengenal pasti perkara yang menghalang sama ada kurang motivasi, tinggi kadar perfeksionisme atau ada kecenderungan untuk sabotaj hasil usaha sendiri (self-sabotage).
Ingin Memahami Mengapa Anda Bertindak Dengan Cara Tertentu
Cara seseorang berkelakuan atau bertindak juga ada pengaruh besar dari dalam diri. Ada sikap yang sudah terbina sejak dari kecil kerana kepercayaan-kepercayaan tertentu, contohnya kerap percaya bahawa anda seorang yang selalu tidak bernasib baik atau seorang yang lemah. Kepercayaan yang tidak seimbang ini boleh dibantu dalam sesi kaunseling.
3 – Anda Sedang/Akan Menghadapi Perubahan Besar Dalam Hidup
Perubahan besar yang dimaksudkan seperti menjalani hidup sebagai seorang pelajar di universiti, baru mula bekerja, berpindah ke tempat baru, baru sahaja memutuskan hubungan, pertama kali mempunyai hubungan istimewa dengan seseorang, baru berkahwin dan menjalani hidup selepas kematian orang yang disayang.
Perubahan besar ini kadang kala boleh mewujudkan pergolakan emosi dalam diri. Maka, bercakap dengan kaunselor sedikit sebanyak dapat memberikan anda ruang untuk berfikir, memproses apa yang sedang dilalui, mendapat bimbingan dan kekuatan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan hidup.
4 – Apabila Inginkan Perhubungan Yang Lebih Sihat
Khidmat kaunseling juga berguna apabila menghadapi konflik dalam perhubungan sama ada telah berkahwin atau belum. Anda boleh berbincang dengan kaunselor apabila menghadapi isu seperti masalah komunikasi dengan pasangan – takut untuk bercakap tentang hal-hal yang dirasakan sensitif, ada isu kemarahan, kerap silap faham atau dilema membuat keputusan.
Melalui teknik-teknik yang dirasakan sesuai oleh kaunselor, anda boleh belajar bagaimana untuk lebih faham tentang bahasa cinta (love language), gaya keterikatan (attachment styles), dan mekanisme daya tindak yang selalu digunakan yang mungkin tidak disedari.
5 – Anda Inginkan Bimbingan Keibubapaan
Melalui kehidupan sebagai seorang ibu dan bapa tidak mudah lebih-lebih lagi jika anda baru mendapat anak pertama, dalam masa sama bekerja dan mempunyai masa yang terhad. Anda boleh mendapatkan sokongan dan bimbingan dari sesi kaunseling, terutamanya dari kaunselor yang mempunyai bidang kepakaran yang berkait dengan kaunseling keluarga dan keibubapaan.
Secara umumnya, seorang kaunselor telah melalui proses pembelajaran dan latihan yang profesional. Setiap kaunselor pula mempunyai pendekatan dan teknik yang berbeza-beza untuk membantu klien dalam sesi kaunseling, contohnya pendekatan Cognitive Behavioural Therapy (CBT), Person-Centered, Acceptance and Commitment Therapy (ACT), Gestalt Therapy, konsep Mindfulness dan lain-lain.
Namun perlu diingatkan bahawa mana-mana sesi kaunseling yang dijalani memerlukan kemahuan dan kebersediaan diri anda sendiri agar proses kaunseling dapat berjalan dengan lebih efektif.