Kenal Pasti Tanda-tanda Kemurungan Dalam Kalangan Kanak-kanak

0 Comments

Zaman kanak-kanak sememangnya penuh dengan turun naik emosi. Namun, apabila seorang kanak-kanak hilang minat terhadap perkara yang sebelum ini digemari dan menjauhkan diri daripada rakan-rakan, ia mungkin lebih daripada sekadar perubahan perkembangan biasa.

Kemurungan ialah satu keadaan yang kompleks. Ia boleh menjadi gangguan kesihatan mental yang berdiri sendiri, dikenali sebagai major depressive disorder (MDD), atau menjadi sebahagian daripada gangguan lain seperti bipolar disorder dan post-traumatic stress disorder (PTSD).

Tanda-tanda kemurungan bukan sekadar perasaan sedih atau keletihan yang berpanjangan. Ia juga boleh melibatkan perubahan dalam tingkah laku, fungsi kognitif yang terganggu, serta gejala fizikal (somatik) yang boleh menjejaskan kesejahteraan keseluruhan seseorang.


Tanda-Tanda Kemurungan dalam Kalangan Kanak-Kanak

Pada tahun 2019 sahaja, Kajian Kesihatan dan Mobiliti Kebangsaan mendapati seramai 424,000 orang kanak-kanak di Malaysia mengalami masalah kesihatan mental. Tingkah laku bunuh diri dalam kalangan remaja berusia 13 hingga 17 tahun menunjukkan peningkatan, iaitu 7.9 peratus kepada 10 peratus pada 2017.

Namun, tanda-tanda kemurungan pada kanak-kanak mungkin berbeza daripada orang dewasa kerana mereka berada pada peringkat kehidupan yang berlainan. Contohnya, orang dewasa mungkin menunjukkan kehilangan minat terhadap tugasan harian seperti menguruskan rumah atau kerja, tetapi bagi kanak-kanak, tanda-tandanya lebih berkait dengan minat dan tingkah laku peribadi mereka.

Menurut Dr. Louise Metcalf, pakar psikologi dan Pengasas/CEO Gheorg,

“Sebagai contoh, jika seorang kanak-kanak biasanya sangat minat bermain permainan video Minecraft tetapi tiba-tiba berhenti menikmatinya tanpa sebab yang jelas, dan mereka kelihatan cepat marah, sedih, atau tidak menunjukkan sebarang emosi, ini adalah petanda kuat bahawa kanak-kanak itu mungkin mengalami kemurungan.”

Tanda-tanda lain yang mungkin menunjukkan anak anda mengalami kemurungan termasuklah:

  • Penurunan prestasi akademik tanpa sebab jelas
  • Laporan tingkah laku buruk dari sekolah
  • Sering menangis
  • Kurang meluangkan masa dengan rakan-rakan
  • Tidur terlalu banyak atau terlalu sedikit
  • Kerap menyatakan bahawa mereka tidak bagus dalam apa-apa atau semuanya salah mereka
  • Hilang minat terhadap sekolah, sukan, atau aktiviti yang dahulu mereka gemari
  • Terlibat dengan penyalahgunaan bahan atau tingkah laku berisiko
  • Sering bercakap, menulis, atau melukis tentang kematian atau keinginan untuk mati
  • Lari dari rumah
  • Mudah marah atau cepat tersinggung
  • Makan terlalu banyak atau terlalu sedikit

Menurut American Academy of Child & Adolescent Psychiatry, kanak-kanak juga lebih cenderung daripada orang dewasa untuk menunjukkan simptom fizikal, seperti sakit kepala dan sakit perut, apabila mengalami kemurungan.


Punca Kemurungan dalam Kalangan Kanak-Kanak

Kemurungan adalah gangguan perasaan seseorang yang menyebabkan
seseorang itu merasa sedih yang berpanjangan, keletihan dan ketiadaan
tenaga, cepat marah serta hilang minat dalam aktiviti harian.

Kajian menunjukkan kemurungan boleh berlaku seawal usia 3 tahun, namun ia paling kerap dikesan dalam kalangan remaja berumur antara 12 hingga 17 tahun.

Selain faktor genetik dan sebab-sebab asas lain, terdapat beberapa faktor yang boleh meningkatkan risiko kanak-kanak mengalami kemurungan.

Menurut Metcalf,

“Punca kemurungan sangat pelbagai dan sukar untuk dijelaskan dengan tepat. Namun, beberapa peristiwa tertentu boleh meningkatkan risiko kemurungan, seperti kejadian trauma dalam keluarga.”

Antara peristiwa yang dimaksudkan termasuklah:

  • kematian dalam keluarga
  • kehilangan tempat tinggal
  • perubahan besar dalam tempat tinggal, seperti mencari suaka (golongan pelarian atau kehilangan tempat tinggal)
  • keganasan rumah tangga
  • penderaan
  • dibuli oleh rakan sebaya

Namun, peristiwa hidup yang sukar bukan satu-satunya penyumbang kepada kemurungan zaman kanak-kanak. Kajian menunjukkan kemurungan lebih kerap berlaku dalam kalangan kanak-kanak yang mempunyai:

  • pandangan hidup yang pesimis secara semula jadi
  • masalah tidur
  • penyakit kronik seperti diabetes
  • gangguan kesihatan mental lain seperti keresahan (anxiety)
  • penyalahgunaan bahan (substance use)
  • penggunaan ubat-ubatan tertentu

Kanak-kanak juga berisiko lebih tinggi mengalami kemurungan jika mereka mempunyai hubungan tidak selamat (insecure attachment) dengan penjaga utama mereka.

Menurut kajian meta-analisis tahun 2019, hubungan tidak selamat dengan penjaga utama merupakan peramal (predictor) kepada kemurungan dalam kalangan kanak-kanak.

Hubungan tidak selamat ini merujuk kepada hubungan antara kanak-kanak dan penjaga yang dicirikan oleh kebimbangan dan ketidaktentuan, biasanya berpunca daripada penjaga yang sering tiada, dingin secara emosi atau bersikap kasar.


Berbicara dengan Anak Tentang Kemurungan

Jika anda tertanya-tanya bila masa sesuai untuk berbincang tentang kemurungan dengan anak, ahli psikologis persekolahan Cyrell Roberson mencadangkan agar ibu bapa bertanya pada diri sendiri soalan-soalan berikut:

  • Adakah hari-hari buruk anak semakin banyak berbanding hari baiknya?
  • Adakah mereka mengalami insomnia atau tidur berlebihan?
  • Adakah mereka susah bangun untuk ke sekolah?
  • Adakah tumpuan mereka merosot di rumah atau di sekolah?
  • Adakah mereka hilang minat terhadap aktiviti yang biasanya digemari?
  • Adakah mereka menjauhkan diri daripada keluarga dan rakan-rakan?
  • Adakah mereka mula menunjukkan cara mengatasi masalah yang tidak sihat, seperti penyalahgunaan bahan?

Jika jawapan kepada mana-mana soalan ini ialah “ya”, mungkin sudah tiba masanya untuk berbincang tentang kemurungan.

Metcalf menjelaskan bahawa ibu bapa boleh membantu dengan membuatkan anak selesa untuk bercakap tentang apa yang mereka fikirkan dahulu. Jangan takut jika apa yang mereka luahkan berbunyi teruk atau sangat pelik daripada norma kebiasaan umur mereka. Ibu boleh beritahu mereka bahawa emosi boleh datang dan pergi.

Beliau juga mencadangkan supaya setiap ahli keluarga berkongsi tiga perkara baik yang berlaku pada hari itu atau tiga perkara yang mereka sukai tentang hari tersebut.

Penjaga juga digalakkan untuk menyebut satu perkara positif tentang anak yang mengalami kemurungan.

Apabila anak semakin selesa bercakap tentang perasaan, ia akan membuka ruang bagi perbincangan lebih mendalam mengenai kemurungan.


Pilihan Rawatan untuk Kanak-Kanak

Metcalf menasihatkan,

“Jika anak anda menunjukkan simptom kemurungan yang berpanjangan dan susah hilang, segera dapatkan bantuan profesional, jangan tunggu lebih daripada sebulan. Dan jika anak menyatakan keinginan untuk menamatkan hidup atau mencederakan diri, jangan panik, segeralah dapatkan bantuan profesional.”

Rawatan kemurungan pada kanak-kanak dan orang dewasa biasanya melibatkan psikoterapi dan ubat-ubatan.

Psikoterapi atau terapi percakapan membantu menangani punca kemurungan sambil mengajar kanak-kanak cara sihat untuk mengurus perasaan negatif dalam kehidupan seharian.

Kaedah seperti Cognitive Behavioral Therapy (CBT) dan Interpersonal Psychotherapy (IPT) terbukti berkesan dalam merawat kemurungan kanak-kanak.

Selain terapi, ubat antidepresan juga boleh digunakan untuk membantu melegakan simptom yang mengganggu fungsi harian.


Bagaimana Untuk Mendapatkan Bantuan

Anda boleh membawa anak ke mana-mana Klinik Kesihatan Kerajaan terdekat untuk disaring dan diperiksa oleh doktor terlebih dahulu. Jika didapati anak anda memerlukan rujukan dan perhatian lanjut, maka anak anda akan dirujuk ke hospital yang mempunyai perkhidmatan psikiatri.

Cara lain yang boleh anda lakukan, anda boleh terus ke mana-mana pusat psikologi yang mempunyai pakar psikologi klinikal untuk mendapat pengesahan diagnosis. Dari sana, anda akan dinasihati untuk rawatan selanjutnya.

Penting untuk tahu bahawa hanya doktor pakar psikiatri dan pakar psikologis klinikal sahaja yang boleh memberikan diagnosis atau pengesahan bagi gangguan mental yang dialami. Manakala kaunselor biasanya akan dirujuk oleh doktor atau psikologis klinikal untuk intervensi seterusnya jika didapati sesuai.

Artikel telah diolah dan diubahsuai dari:
PsychCentral. (2025). 10 signs of depression in children.
Kementerian Kesihatan Malaysia. (2012). Apa itu kemurungan.
Essa Abu Yamin. (2023). Memahami masalah kesihatan mental, elak anak kemurungan. Berita Harian.

Previous Post
Kemahiran Komunikasi yang Kanak-Kanak Hilang Apabila Berada Banyak Di Rumah
natirahazira

Graduan ijazah sarjana dalam bidang kaunseling dari Universiti Sains Malaysia (USM). Pernah mendalami bidang psikologi klinikal selama dua tahun di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Kini bekerja sebagai kaunselor bagi sebuah NGO untuk kerja-kerja kemanusiaan.

0 Comments

Leave a Reply

15 49.0138 8.38624 1 0 4000 1 https://mindateduh.com 300 0