Jika Mahukan Perhubungan Yang Sihat, Fahami Sistem Saraf Badan Anda
(Perkongsian ini telah diambil daripada untaian Dr. Nicole LePera di Twitter miliknya @Theholisticpsyc kemudian diterjemahkan dan diolah mengikut kesesuaian konteks Malaysia)
Sistem saraf (nervous system) boleh mengenal pasti ancaman di sekeliling kita. Ia melakukan tugas ini melalui proses neurosepsi (neuroception) iaitu kemampuan otak untuk mengesan persekitaran sama ada mempunyai tanda-tanda keselamatan atau ancaman.
Dalam bahasa yang lebih mudah, ia adalah sistem kecemasan dalaman badan kita.
Jika ancaman yang kita terima adalah daripada persekitaran seperti binatang buas atau penjenayah, apa agaknya reaksi badan ketika itu? Sudah pasti kita ingin melarikan diri. Sistem kecemasan dalaman badan ketika ini akan jadi sangat berguna. Jantung akan berdegup lebih laju, aliran darah ke seluruh tubuh meningkat, dan minda hanya berfikir satu perkara sahaja; ‘Lari, selamatkan diri!’ Kita akan berfikir tentang survival dan keinginan untuk terus hidup.
Hari ini, rata-rata ancaman yang dihadapi bukan lagi soal hidup dan mati. Masalah seharian juga boleh dianggap ancaman oleh sistem badan kita. Tetapi, hal ini tidak difahami oleh badan. Badan akan tetap bertindak dengan cara yang sama terhadap apa jua perkara yang dianggap ancaman sama seperti ancaman sebenar. Dan dengan mudahnya, pasangan kita juga boleh menjadi ancaman yang dimaksudkan.
Ancaman yang dirasakan (perceived threats) boleh terzahir dalam bentuk seperti berikut:
1. Pasangan tidak mendengar, atau mencelah tiba-tiba.
2. Tugas rumah yang tidak dibahagi secara seimbang.
3. Majikan yang mengkritik kerja.
4. Pasangan yang tidak mengendahkan kita atau diam tidak bercakap.
5. Ibu bapa mertua yang banyak mengkritik dan membebel.
Contoh Situasi 1:
Pasangan anda meminta anda membantunya melakukan sesuatu tetapi dengan nada yang kesal atau menyebalkan. Sistem saraf anda mengesan bahawa ini adalah ancaman sehingga anda rasa cemas. Anda mula diam membatu dan tidak memberi apa-apa respon (freeze). Mereka mula geram, dan bertindak lebih mendesak. Fikiran anda jadi kacau dan anda tidak dapat berbuat apa-apa.
Contoh Situasi 2:
Pasangan anda memberikan komen yang membuatkan anda marah. Sistem saraf anda mengesannya sebagai ancaman dan anda mula berubah ke mod fight or flight (lawan atau lari). Dia mula mendekati anda, tetapi anda mula menaikkan suara. Dia pula mula merasakan anda adalah ancaman bagi dirinya dan mula berubah ke mod fight or flight. Dia tidak lagi boleh mendengar apa jua yang anda katakan, dan hanya ingin lari daripada situasi itu.
Justeru, jika kita mula faham bagaimana sistem saraf kita bertindak dalam perhubungan, kita boleh:
1. Sedar bahawa sistem saraf aku sedang berasa terancam dan ingin melindungi diri aku.
2. Beritahu diri sendiri bahawa aku selamat, dan tidak berada dalam bahaya.
3. Mengurangkan kesan buruk pada sistem saraf (lessen rupture): Hilang sambungan atau pertalian (loss connection)
Dengan menyedari bahawa kita berada dalam keadaan selamat, badan akan jadi lebih tenang kerana bahagian otak prefrontal cortex dan ventral vagal diaktifkan.
Dengan pengetahuan tentang bagaimana sistem saraf kita bertindak, kita boleh meredakan emosi yang kuat. Tandanya, suara akan jadi lebih tenang, otot muka kita tidak tegang dan pemikiran akan jadi lebih jelas. Dan besar kemungkinan, pasangan kita akan lebih mudah untuk mendengar apa yang ingin diperkatakan.


