Awas Perangkap Menyalahkan Diri
Kesilapan ialah perkara yang sentiasa dilakukan. Perasaan yang biasa datang selepas itu adalah rasa bersalah kerana kita sudah melukakan hati orang dan juga kecewa kepada diri sendiri. Ia diselangi dengan kata-kata seperti:
“Kalau lah saya…. mesti benda ni tak akan jadi. Semuanya salah saya”
Ayat menyalahkan diri ini apabila digabung pula dengan rasa bersalah yang datang menerpa – kesannya berganda. Rasa tidak tenang, tidak tenteram atau ‘tidak senang duduk’. Ada yang sehingga terbawa-bawa dalam urusan lain yang dilakukan sehari-hari.
Dalam hal ini, apabila kita bercakap tentang kesilapan yang sudah terjadi, penting untuk kita membezakan tiga perkara:
- Rasa bersalah
- Mengaku salah
- Menyalahkan diri
Rasa Bersalah (Feeling Guilty)
Rasa bersalah (guilt) adalah satu bentuk emosi yang kita rasai apabila sesuatu terjadi, sama ada kesalahan itu memang di pihak kita atau orang lain.
Ada kalanya, rasa bersalah yang dirasakan boleh menjadi terlalu besar walaupun perkara yang berlaku sudah lama berlalu dan kesalahan itu sudahpun dimaafkan. Hal ini perlu diberi perhatian.
Pada tahap yang betul, rasa bersalah membantu kita untuk menilai semula tindakan sendiri dan memberi semangat untuk berubah ke arah yang lebih baik. Perasaan ini boleh wujud apabila kita mengaku salah atau menyalahkan diri.
Mengaku Salah (Admiting mistake)
Mengaku salah adalah keadaan di mana kita menyedari apa silap yang telah dilakukan. Ia adalah satu tindakan yang menunjukkan rasa tanggungjawab kerana kita tahu kesan perbuatan pada orang lain. Mengaku salah membuka ruang untuk berfikir apa pembaharuan dan pembaikan yang boleh dilakukan pada masa hadapan.
Menyalahkan Diri (Self-blaming)
Menyalahkan diri pula berbeza dengan mengaku salah. Seseorang boleh termasuk ke dalam perangkap menyalahkan diri sendiri walaupun tidak melakukan apa-apa kesalahan.
Orang yang menyalahkan diri secara keterlaluan biasanya menyalahkan diri kerana tidak meneliti sesuatu perkara sebelum peristiwa berlaku, dan tidak dapat memaafkan diri selepas ia berlaku.
Menyalahkan diri akan membuatkan seseorang rasa lebih terbeban dengan apa yang telah berlaku, malah dalam keadaan tertentu ia membuat kita ‘diam’ dari berbuat apa-apa.
Jadi, penting untuk kita bertanya diri apabila berhadapan dengan situasi yang tidak diingini – adakah kita mengaku salah atau sedang menyalahkan diri? Adakah ada apa-apa yang boleh diubah dengan menyalahkan diri?
Kita hanya manusia biasa yang sering melakukan kesilapan. Tidak ada manusia yang sempurna. Melakukan kesilapan tidak menjadikan kita seorang yang gagal dalam hidup. Yang perlu kita beri perhatian adalah proses perubahan pada masa hadapan.