7 Tanda Anda Berada Dalam Hubungan Toksik
Hubungan yang sihat bukan hubungan yang tidak ada masalah, tetapi masalah dapat diselesaikan secara matang. Kita bergaduh dan berbalah bersama pasangan tetapi kita kembali kuat sebagai satu kumpulan.
Tetapi hubungan toksik lain ceritanya. Hubungan begini dapat membuat seseorang rasa tidak disokong, selalu disalah fahami, direndah-rendahkan atau selalu ‘diserang’ oleh pasangan.
Pakar psikologi dan komunikasi Dr Lilian Glass menerangkan bahawa hubungan toksik bermaksud “apa jua hubungan yang melibatkan individu yang tidak menyokong antara satu sama lain, di mana adanya konflik dan individu itu akan melemahkan yang lain, adanya persaingan, tidak menghormati dan kurang kesepaduan”.
Hubungan begini akan membuatkan individu yang terlibat di dalamnya sentiasa dalam keadaan tidak selesa, tidak bahagia dan kepenatan sehingga perkara-perkara yang negatif melebihi perkara positif yang berlaku.
Tanda Hubungan Yang Toksik
Apabila seseorang berada dalam hubungan yang toksik, ada tanda yang mungkin nampak jelas dan ada juga yang terselindung, bergantung kepada dinamik perhubungan itu sendiri.
1- Apa Jua Bentuk Penderaan Atau Keganasan
Jika dalam perhubungan wujudnya sebarang keganasan secara fizikal, pertuturan, psikologi atau perasaan, maka ini adalah tanda paling besar bahawa hubungan itu toksik.
Keganasan atau penderaan secara fizikal adalah dalam bentuk kekasaran seperti pukul, lebam, luka atau patah. Manakala daripada sudut psikologi dan emosi, perbuatan pasangan kerap mendatangkan rasa takut, terancam, rasa tidak selamat atau mungkin rasa benci kepada diri sendiri.
2- Kurang Sokongan
Menurut terapi perhubungan Jor-El Caraballo, individu yang berada dalam perhubungan yang sihat biasanya ingin melihat pasangannya berjaya dalam hidup. Walau bagaimanapun, apabila hubungan telah menjadi toksik, setiap kejayaan pasangan akan dilihat sebagai ancaman dan persaingan.
3- Komunikasi Toksik
Perbualan yang berlaku akan kerap dipenuhi dengan kata-kata sindiran dan kritikan yang tidak membangun. Tabiat ini akan membuatkan pasangan rasa tidak didengari, difahami mahupun disokong.
4- Cemburu Dan Iri Hati
Tidak salah untuk sesekali rasa cemburu kerana itulah tanda bahawa kita masih cakna dengan keadaan pasangan. Namun, jika diri dikuasai rasa cemburu yang melampau sehingga tidak ada lagi rasa percaya yang tinggal, hanyalah syak wasangka, maka perkara ini juga dikira toksik dalam perhubungan.
Sama juga dengan rasa iri hati. Iri hati yang melampau terhadap kejayaan pasangan akan menghakis rasa gembira dengan apa yang dicapai.
5- Rasa Dendam
Kesilapan adalah adat kebiasaan dalam perhubungan. Namun, jika kemaafan yang diberikan hanya dibibir sedangkan hati masih menyimpan dendam terhadap pasangan, perkara ini juga dapat mengurangkan rasa rapat dengan pasangan dari hari ke hari.
6- Sentiasa Mengawal Pergerakan Pasangan
Bertanya keberadaan pasangan jika lewat pulang itu normal. Yang tidak normal adalah jika individu sentiasa bertanya di mana pasangannya berada. Pergerakan pasangan sentiasa diawasi dengan ketat – siapa yang dijumpai, apa yang dibualkan, di mana bertemu dan berapa lama ingin keluar, segalanya mesti dalam pengetahuan.
Tindakan ini mungkin berpunca daripada cemburu dan tidak ada rasa percaya. Ia juga menunjukkan keinginan untuk mengawal. Jika tidak dibendung, tabiat ini juga boleh membawa kepada perhubungan yang tidak sihat.
7- Sentiasa Dalam Keadaan Waspada Dan Berhati-hati
Orang yang berada dalam hubungan yang toksik sentiasa dalam keadaan waspada dan berhati-hati, kerana ada sahaja perkara yang dapat mencetuskan kemarahan pasangan.
Mereka dalam keadaan berjaga-jaga kerana bimbang dimarahi sekalipun kesilapan yang berlaku adalah kesilapan yang kecil. Individu yang menjadi mangsa dalam hubungan toksik rasa tidak dapat bersuara dan meluahkan perasaan sebenar kerana bimbang dimarahi.
Matlamat sesebuah perhubungan adalah untuk merasa tenang dan bahagia bersama. Namun harus diingat, tidak semestinya perbuatan toksik itu datang daripada satu pihak sahaja.
Tindakan toksik ini kadang-kadang berpunca daripada tabiat sedia ada sebelum seseorang itu masuk ke dalam perhubungan lagi. Justeru, penting untuk kita sentiasa memeriksa tindakan sendiri dan tabiat yang sering kita amalkan dalam komunikasi dan perhubungan supaya perhubungan bahagia yang ingin dicapai bersama pasangan kekal menjadi matlamat berpanjangan.