7 Cara Bergaduh Dengan Pasangan

0 Comments

Setiap perhubungan tidak akan sunyi daripada pergaduhan. Semakin lama masa dengan pasangan, semakin terserlah kekurangan dan kelemahan diri pasangan. Diri kita juga begitu.

Ada sahaja perkara yang boleh digaduhkan – rutin dan tabiat yang tidak sama, prinsip hidup yang berbeza dan boleh jadi cara makan juga jadi punca bergaduh.

Oleh kerana pergaduhan tidak dapat dielakkan, maka mari kita belajar tujuh cara bergaduh dengan pasangan.

1. Sebelum Bergaduh, Tanya Diri Mengapa Marah

Sebelum bergaduh, tanya diri sendiri mengapa anda marah? Adakah kerana pasangan meninggalkan baju kotor di atas lantai, atau anda rasa tidak adil dengan pembahagian tugas dalam rumah atau ada sebab lain.

Kemarahan seperti puncak ‘iceberg’ yang terapung di lautan yang sejuk. Yang nampak hanya sebahagian kecil sedangkan bahagian yang sangat besar tenggelam di bawah.

Sama seperti perasaan, yang ditunjukkan hanya rasa marah, tetapi perasaan yang berada di dasar hati mungkin penat, kecewa dan sedih. Jadi kenal pasti apa sebenarnya yang anda rasakan.

2. Bincang Satu Topik Sahaja Pada Satu-satu Masa

Ketika bergaduh, cukup mudah untuk ‘melompat’ daripada satu topik ke topik yang lain. Pergaduhan yang pada awalnya berpunca daripada main ‘video game’ terlalu lama boleh melompat ke isu tak bantu kemas rumah atau tak main bersama anak.

Pilih satu topik sahaja untuk dibincangkan bersama pasangan, dan bincang hingga selesai dan capai kata sepakat.

3. Tidak Menggunakan Perkataan Yang Tidak Sesuai

Bincanglah tentang masalah yang berlaku bukan personaliti atau diri pasangan. Semasa bergaduh, letak syarat untuk tidak mencarut, memaki, atau memanggil pasangan dengan nama-nama yang tidak elok.

4. Luahkan Perasaan Dengan Kata-kata

Belajar untuk meluah dan menggunakan ayat dengan lebih baik.

“Awak tak pernah nak tolong saya!”

“Saya rasa sedih bila buat benda ni sorang-sorang”

Ada beza bukan antara dua ayat di atas. Ayat yang pertama seperti ‘menyerang’ pasangan, manakala ayat kedua, anda cuba memberitahu apa yang dirasai tentang apa yang terjadi.

Susun ayat dengan menggunakan “Saya rasa perasaan bila perkara yang berlaku

5. Ambil Giliran Bercakap

Beri sepenuh perhatian apabila pasangan bercakap. Elak daripada memotong percakapan atau cuba menegakkan hujah anda apabila pasangan sedang bercakap.

Tugas anda hanya mendengar dan memahami sudut pandang mereka sekalipun anda tidak bersetuju dengan apa yang pasangan katakan.

Jika rasa susah untuk melakukan perkara ini, cuba beri masa sekitar 1-2 minit untuk bergilir bercakap.

6. Ambil Masa Bertenang Jika Keadaan Terlalu Tegang

Ada masanya pergaduhan membuatkan keadaan antara anda dan pasangan jadi terlalu tegang. Sesetengah mungkin bergaduh hingga ke tahap lempar barang atau menyakiti secara fizikal.

Jika situasi ini berlaku, ambil masa untuk bertenang. Tapi, jangan tiba-tiba terus tinggalkan pasangan. Elakkan dari meninggalkan pasangan terkapai-kapai berseorangan. Anda boleh ambil inisiatif untuk berkata;

“Saya rasa perbincangan kita terlalu tegang sekarang. Kita perlu ambil masa untuk tenangkan diri sekejap dan bincang semula.”

7. Cuba Capai Jalan Tengah/Kata Sepakat

Perbincangan atau pergaduhan kadang kala tidak berakhir dengan pilihan yang memuaskan hati kedua-dua pihak. Walaupun begitu, anda boleh berkompromi. Contohnya, jika pasangan buat A, anda akan buat B. Kata orang, perlu ‘give and take’.

Rujukan:

Woody Schuldt. Fair Fighting Rules. Therapist Aid.

Previous Post
51% Pekerja Di Malaysia Berhadapan Masalah Stres Tempat Kerja
Next Post
Jika Ada 3 Tanda Ini, Anda Perlu Belajar Kemahiran Komunikasi Yang Lebih Sihat
natirahazira

Graduan ijazah sarjana dalam bidang kaunseling dari Universiti Sains Malaysia (USM). Pernah mendalami bidang psikologi klinikal selama dua tahun di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Kini bekerja sebagai kaunselor bagi sebuah NGO untuk kerja-kerja kemanusiaan.

0 Comments

Leave a Reply

15 49.0138 8.38624 1 0 4000 1 https://mindateduh.com 300 0