Herotan Kognitif (Cognitive Distortion) – Pemikiran Berat Sebelah Yang Mengundang Konflik

0 Comments

Herotan kognitif mungkin berbunyi agak asing di telinga kita. Tetapi jika kita sebut pemikiran berlebihan (overthinking), ia kedengaran biasa bukan?

Overthinking adalah istilah umum yang biasa digunakan apabila seseorang berfikir secara berlebihan tentang suatu perkara. Kadang-kadang isu yang kecil dibesar-besarkan dalam minda sehingga mengganggu fokus dan kerja seharian.

Secara mudahnya, berfikir secara berlebihan boleh dikatakan sebagai ranting kepada herotan kognitif yang akan diterangkan dalam artikel ini.

Herotan kognitif atau dalam bahasa Inggeris disebut cognitive distortion (sesetengah menyebut cognitive dissonance) adalah pemikiran automatik akibat kesilapan pertimbangan dan menghasilkan reaksi tidak rasional kepada sesuatu keadaan.

Apa contoh herotan kognitif?

1. Melabelkan (Labelling)

Contoh: “Saya memang tak pandai”

“Saya seorang yang bodoh”

Anda memberi label tertentu kepada diri bahawa anda orang yang begini-begini.

2. Membuat Kesimpulan Tergesa-gesa (Jumping to conclusion)

Contoh: “Dia tak layan saya, mesti dia tak suka saya”

Anda memberikan konklusi sendiri tanpa ada bukti atau pertimbangan yang rasional.

3. Generalisasi Melampau (Generalization)

Generalisasi melampau adalah apabila seseorang berfikir bahawa benda buruk yang berlaku akan sentiasa bersambung-sambung dan berterusan.

Contoh: “Aku tak dapat kerja lagi kali ni. Aku rasa aku dah tak akan dapat sampai bila-bila. Aku memang tak ada kualiti”

Dan pemikiran begini akan membawa kepada rasa tidak ada harapan, sedih dan murung.

4. Pemikiran Hitam Dan Putih (Black and white thinking)

Setiap perkara dalam hidup dilihat dari dua sudut yang ekstrem sahaja, tidak ada pandangan tengah. Contohnya baik dan jahat, sayang dan benci, gembira dan sedih, begitulah seterusnya.

Contoh: “Pensyarah marah saya hari ni. Dia memang jahat”

5. Personalisasi (Personalization)

Anda merasakan bahawa apa-apa sahaja perkara negatif yang berlaku adalah salah sendiri, kerana kekurangan dan kelemahan diri, dan anda bertanggungjawab ke atasnya.

6. Meminimakan Atau Membesarkan Sesuatu (Minimization or Magnification)

Minimization – memperkecilkan perkara yang besar.

Contoh situasi: Haikal banyak bermain permainan video dan tidak mengulangkaji sedangkan esok dia ada peperiksaan. Hal ini ditegur rakannya. Tetapi Haikal malah marah dan merasakan bahawa perkara ini kecil sahaja (sedangkan ia hal yang besar).

Magnification – membesar-besarkan perkara kecil.

Contoh situasi: Masakan yang dimasak ibu Aini terlebih masin. Aini tidak puas hati dan mengatakan bahawa ibunya tidak pandai memasak dan tidak tahu citarasanya.

7. Tapisan Minda (Mental Filtering)

Tapisan minda adalah keadaan di mana minda menapis setiap perkara yang berlaku dan melihat hanya perkara yang negatif sahaja.

Contohnya jika majikan memberikan ulasan prestasi di syarikat, kemudian ada komen positif dan negatif, yang difokuskan adalah pada perkara negatif sahaja.

Demikian beberapa jenis herotan pemikian yang ada. Kita mungkin pernah mengalami sekurang-kurangnya salah satu daripadanya. Jika kita kerap ada perkara di atas, ia bukan bermakna kita ada masalah penyakit mental, tetapi ia adalah tanda bahawa kesihatan mental berada pada tahap yang rendah.

Justeru, kenal pasti dahulu jenis herotan mana yang ada, kemudian ambillah langkah proaktif untuk memperbaikinya.

Previous Post
Selangor Peruntuk Lebih RM200 Ribu Untuk Rawatan Kesihatan Mental
Next Post
Jika Mahukan Perhubungan Yang Sihat, Fahami Sistem Saraf Badan Anda
natirahazira

Graduan ijazah sarjana dalam bidang kaunseling dari Universiti Sains Malaysia (USM). Pernah mendalami bidang psikologi klinikal selama dua tahun di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Kini bekerja sebagai kaunselor bagi sebuah NGO untuk kerja-kerja kemanusiaan.

0 Comments

Leave a Reply

15 49.0138 8.38624 1 0 4000 1 https://mindateduh.com 300 0