Bertangguh – Masalah Pengurusan Masa Atau Pengurusan Emosi Sebenarnya?

0 Comments

Setiap orang pasti ada masanya rasa ingin bertangguh. Contohnya, ingin lipat baju atau mengemas rumah pada hujung minggu. Tetapi orang yang memang tabiatnya suka bertangguh biasanya memang sengaja mencari sebab untuk mengelak hal-hal yang susah dilakukan kerana ada emosi yang membuatkan mereka rasa tidak selesa.

Bertangguh dalam bahasa Inggerisnya disebut sebagai procrastination. Ia berasal daripada perkataan Latin, procrastinare yang bermaksud menangguhkan sesuatu ke hari esok. Ia juga dikatakan berasal daripada perkataan Greek (akrasia) iaitu melakukan sesuatu yang bertentangan dengan pertimbangan yang bagus.

Kata Dr. Tim Pychyl, profesor psikologi dan juga ahli Procrastination Research Group di Carleton University Ottawa, tindakan bertangguh ini adalah masalah regulasi emosi, bukan masalah pengurusan masa.

Regulasi emosi atau emotion regulation adalah kemampuan untuk mengawal keadaan emosi diri sendiri supaya jadi lebih seimbang. Justeru, dalam masalah bertangguh ini, seseorang sukar untuk mengawal emosi yang dirasakan berkaitan perkara yang perlu dilakukan.

Cuba imbas kembali waktu anda belajar di bangku sekolah atau universiti dahulu – ramai yang suka menangguhkan tugasan kerja sehingga dekat dengan tarikh penghantarannya. Ulang kaji untuk peperiksaan pula kerap dilakukan lambat. Ketika itu apa yang dirasakan mungkin tugas itu terlalu rumit, berat, susah dan kompleks untuk disiapkan, bukan?

Kita mengelak daripada melakukan sesuatu dan memilih untuk menangguhkannya ke masa lain kerana percaya bahawa ia bukanlah aktiviti yang menyenangkan, dan melakukannya akan buat kita rasa tidak gembira. Manusia juga bertangguh apabila merasakan sesuatu tugas itu rumit dan kompleks.

Ahli psikologi telah mengenal pasti pelbagai punca yang membawa kepada tindakan bertangguh ini termasuklah rendah keyakinan diri, rasa cemas, kurang struktur dalam menyelesaikan masalah, dan juga ketidakmampuan memotivasikan diri sendiri untuk menyiapkan tugasan yang sukar. Kajian juga ada mendapati bahawa amalan suka bertangguh juga ada kaitannya dengan tabiat suka menumpukan pada pemikiran yang negatif dan berulang-ulang.

Sebahagian beranggapan bahawa orang yang bertangguh ini adalah mereka yang mementingkan kesempurnaan (perfectionist). Orang yang berpersonaliti ini mempunyai peraturan dan standard tertentu dalam melakukan tugasan dan ingin melakukannya sesempurna mungkin. Jadi, lebih mudah untuk mengelak sesuatu kerja berbanding terpaksa melakukannya dengan ketakutan tidak dapat menyempurnakan sebaik mungkin.

Jadi bagaimana untuk melawan sikap bertangguh ini, atau lebih tepat lagi menguruskan emosi? Anda boleh melakukan beberapa langkah di bawah.

1- Kenal Pasti Apa Yang Anda Takuti

Tanya diri sendiri apa yang ditakuti sebenarnya berkaitan tugas tersebut. Ia mungkin rasa takut tidak dapat menyiapkannya dengan baik, takut melakukan kesilapan dan lain-lain. Setelah mengenal pasti, fikirkan apa nasihat yang boleh anda berikan kepada diri sendiri, sebagaimana anda akan memberikannya kepada rakan.

2- Kenal Pasti Pemikiran Negatif Yang Anda Rasa

Semak apa yang anda fikirkan sebenarnya apabila perlu menyelesaikan suatu tugasan.

“Aku tak boleh buat sebaik dia”

“Benda ni susah nak diselesaikan”

Setelah mengenal pasti apa yang anda fikir, cuba cabar pemikiran tersebut kerana tidak semua yang kita fikirkan ini benar.

“Mengapa perlu banding dengan orang lain?”

“Tugasan itu yang susah atau diri sendiri rasa susah”

“Dah mula cuba buat atau belum?”

3- Tingkatkan Efikasi Kendiri

Efikasi kendiri adalah rasa percaya kepada kemampuan diri untuk melakukan sesuatu dengan baik. Mudahnya, apa yang anda percaya tentang kemampuan diri? Ada masanya efikasi kendiri boleh berada pada tahap rendah lebih-lebih jika tugasan itu tidak pernah dilakukan.

Tetapi, ia boleh ditingkatkan dengan beberapa strategi antaranya dengan:

– Lihat dan belajar bagaimana orang lain melakukannya

– Dapatkan kata-kata dorongan daripada orang yang dipercayai

– Cuba kawal rasa cemas atau berdebar

4- Fikirkan Strategi Yang Mudah

Suatu tugasan akan besar dan membebankan jika anda hanya melihatnya dari luaran tanpa cuba melihat-lihat ke dalam; apa yang perlu dilakukan terlebih dahulu sebenarnya. Fikirkan strategi mudah seperti:

– Apa langkah pertama yang boleh dilakukan?

– Adakah maklumat tentang tugasan tersebut boleh dicari di internet? (Cara ini lebih mudah dan cepat)

– Adakah ada rakan-rakan yang boleh membantu?

– Tetapkan masa yang spesifik untuk anda melakukannya contohnya 30 minit setiap hari, pada pukul 8.30 malam.

Kesimpulannya, masalah bertangguh boleh diuruskan dan ditangani jika kita faham bahawa ia berkait rapat dengan emosi. Memang, tidak mudah jika anda pertama kali ingin berhadapan dengan emosi sendiri. Tetapi tidak dapat tidak, ia perlu dihadapi lebih-lebih lagi jika ia kerap menjadikan anda takut dengan apa yang tidak pasti dan juga menjadikan anda tidak yakin dengan diri sendiri.

Rujukan:

Psychology Today. Procrastination.

Charlotte Lieberman. (2019). Why you procrastinate (It has nothing to do with self-control). The New York Times.

Itamar Shatz. Emotion regulation and procrastination: managing how you feel can help you get things done. Solving Procrastination.com

Previous Post
Jika Mahukan Perhubungan Yang Sihat, Fahami Sistem Saraf Badan Anda
Next Post
4 Gaya Keibubapaan, Anda Yang Mana Satu?
natirahazira

Graduan ijazah sarjana dalam bidang kaunseling dari Universiti Sains Malaysia (USM). Pernah mendalami bidang psikologi klinikal selama dua tahun di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Kini bekerja sebagai kaunselor bagi sebuah NGO untuk kerja-kerja kemanusiaan.

0 Comments

Leave a Reply

15 49.0138 8.38624 1 0 4000 1 https://mindateduh.com 300 0