Mengapa Sukar Berkata ‘Tidak’?
Pernahkah anda rasa sangat sukar untuk berkata tidak dan menolak permintaan orang lain?
Hati selalu meronta-ronta untuk berkata tidak tetapi dalam masa sama akan dihurung rasa bersalah jika tidak memenuhi apa yang orang lain inginkan. Kadang-kadang, kehendak sendiri tidak dapat dipenuhi dan pendirian sendiri tidak dapat dipegang.
Sewaktu saya bertugas sebagai kaunselor pelatih, saya kerap menemui kes-kes di mana individu menghadapi masalah untuk meluahkan apa yang dirasa kepada pasangan. Ada yang sanggup berkahwin tanpa rasa cinta kerana takut menolak dan melukakan pasangan. Ada yang tidak mahu menolak permintaan pasangan kerana takut dibenci.
Sehingga saya tertanya-tanya, mengapa ketakutan ini terlalu besar sehingga mengabaikan diri sendiri dan masa depan.
Apa yang ingin dibincangkan di sini bukanlah bagi semua keadaan. Ada masanya berkata tidak dan menolak melakukan sesuatu perkara adalah tidak elok, lebih-lebih lagi jika ia berkait dengan tugasan kerja dan tanggungjawab yang perlu diselesaikan.
Contohnya di tempat kerja, sudah seharusnya sebagai pekerja, arahan oleh majikan perlu dituruti selagi ia tidak bertentangan dengan tugas dan ia dapat membantu kelancaran syarikat. Di rumah pula, kadang-kadang mengatakan ‘ya’ adalah perlu untuk membantu tugasan rumah dan ahli keluarga yang lain.
Tetapi yang dimaksudkan di sini adalah apabila kecenderungan untuk berkata ya adalah tinggi dalam banyak keadaan sehingga mengabaikan keperluan sendiri.
Apa sebenarnya yang difikirkan?
Mengapa terlalu sukar berkata tidak?
Adakah berkata tidak adalah suatu yang sangat teruk?
Diane Barth, seorang psikoterapis menerangkan bahawa ada beberapa sebab mengapa kita sukar berkata tidak kepada orang lain.
Takut Kepada Konflik Dan Pergaduhan
Pertama adalah kerana takut kepada konflik. Kita tidak suka orang marah atau bersikap kritikal kepada kita. Jadi, apa yang dilakukan adalah sentiasa mengatakan ‘ya’, ‘boleh’ atau ‘setuju’ , sama ada kepada pasangan, rakan sekerja mahupun rakan rapat.
Sesetengah orang telah diajar daripada kecil untuk tidak membantah atau menolak apa yang diberitahu oleh orang lain terutama oleh orang yang lebih tua daripada kita.
Selalunya jika anak kecil membantah atau tidak mahu melakukan sesuatu, maka ada hukuman yang akan diterima daripada ibu bapa seperti tidak dilayan dan tidak dipedulikan.
Jadi, kita lebih cenderung untuk menuruti kerana tidak mahu dibenci oleh orang lebih-lebih lagi mereka yang rapat dengan kita. Kemudian, ketakutan untuk menolak permintaan ini dibawa hingga dewasa.
Namun, bukankah konflik dan perselisihan adalah perkara biasa? Jika diuruskan dengan baik, maka konflik boleh menjadi jalan untuk kita belajar menguruskan emosi dengan lebih matang.
Tidak Mahu Melukakan Hati Orang Lain
Sebab kedua adalah tidak mahu melukakan hati orang lain. Individu yang tidak mahu melukakan hati orang lain biasanya sangat berhati-hati dengan setiap tindak tanduk.
Melukakan hati orang lain akan membawa perasaan bersalah kepada diri sendiri dan ia adalah perasaan yang sangat tidak selesa dan ingin dielak. Tetapi tidakkah kita terfikir bahawa, kita juga mempunyai hak untuk menjaga hati sendiri?
MEMPUNYAI KEPERCAYAAN YANG TIDAK SEIMBANG
Sebab-sebab lain yang menjadikan kita sukar menolak dan berkata tidak adalah kerana kita memegang kepercayaan yang salah tentang konsep ‘penolakan’ ini tanpa kita sedari. Antaranya adalah seperti di bawah:
- Berkata ‘tidak’ menunjukkan agresif dan kurang ajar.
- Berkata ‘tidak’ menunjukkan tidak baik, tidak mengambil berat, dan mementingkan diri.
- Berkata ‘tidak’ akan melukakan dan membuat orang lain marah dan rasa ditolak.
- Jika saya berkata ‘tidak’ kepada seseorang, mereka tidak akan suka saya lagi.
- Keperluan orang lain lebih penting daripada saya.
- Menolak atau berkata tidak menunjukkan anda berfikiran sempit.
Adakah semua senarai di atas benar? Adakah berkata tidak menunjukkan agresif dan kurang ajar, atau ada keadaan di mana dengan berkata tidak, ia boleh membawa kepada perkara yang positif?
Jika ada antara senarai di atas yang anda rasakan tepat dengan diri sendiri, masih ada cara untuk menyeimbangkan kepercayaan ini. Sebagaimana kita telah memegang kepercayaan yang tidak seimbang terlalu lama, maka proses membetulkan semula juga perlu dipelajari. Nantikan sambungan perkongsian daripada kami tentang bila dan bagaimana cara yang betul untuk berkata tidak.
Sumber:
Centre for Clinical Intervention. (2008). How To Say No Assertively.
F, Diane Barth. (2016). Why Is It Hard to Say “No” and How Can You Get Better at It?. Psychology Today.