Fahami Apa Itu Kesihatan Mental
Fokus terus giat diberikan terhadap isu kesihatan mental oleh ramai pihak, sama ada oleh golongan profesional atau mereka yang pernah atau sedang berjuang sendiri dengan masalah kecelaruan mental.
Sedikit demi sedikit, kesedaran, kefahaman dan empati kita meningkat apabila ada berita dan isu yang timbul berkaitan kesihatan mental. Walau bagaimanapun, untuk memahami dengan lebih mendalam, ayuh kita kembali kepada pengenalan asas kesihatan mental.
Maksud kesihatan mental
Menurut World Health Organization, ia adalah suatu keadaan yang sejahtera apabila individu menyedari keupayaan diri, dapat mengatasi tekanan normal kehidupan, dapat bekerja dengan produktif dan bermanfaat seterusnya mampu memberi sumbangan kepada komuniti.
Bermakna, kesihatan mental boleh difahami sebagai tahap kesihatan mental yang berkait dengan keadaan fizikal, emosi dan sosial. Ia ada naik dan turunnya dan boleh berubah-ubah bergantung kepada keadaan diri dan apa yang dilalui.
Penyakit Mental
Berbeza dengan kesihatan mental, penyakit mental adalah suatu penyakit atau kecelaruan berkaitan mental yang perlu disahkan oleh pakar psikiatri atau ahli psikologi klinikal. Seseorang yang mempunyai penyakit mental akan terganggu kefungsian dalam kehidupannya, seperti tidak dapat bekerja dan belajar dengan baik.
Faktor Mempengaruhi Kesihatan Mental
Kesihatan mental seseorang boleh dipengaruhi beberapa faktor antaranya:
- Ciri-ciri Khusus Individu
Ciri-ciri khusus individu di sini adalah faktor personal yang ada dalam diri seseorang. Contohnya tabiat dan kemahiran daya tindak (coping skills) yang seseorang itu ada. Tabiat yang negatif dan kemahiran daya tindak yang lemah dapat menjejaskan kesihatan mental.
- Faktor Persekitaran
Tidak semua orang berada dalam suasana kehidupan yang sihat dan mendapat sokongan sosial yang baik. Seseorang yang mempunyai ibu bapa, ahli keluarga dan rakan-rakan yang menyokong pasti berbeza keadaan mereka dengan yang kurang sokongan sosial. Justeru, keadaan ini juga mampu memberi kesan kepada keadaan kesihatan mental seseorang.
- Peristiwa Dalam Kehidupan
Contoh peristiwa yang boleh memberi kesan kepada kesihatan mental seseorang seperti kehilangan orang yang disayangi, masalah kewangan, masalah perhubungan dan juga peralihan kitaran hidup contohnya daripada fasa remaja kepada dewasa.
Walau bagaimanapun, seberapa besar kesan yang dihadapi mungkin berbeza bagi setiap orang. Ada orang yang mampu menggunakan daya tindak yang positif sekalipun peristiwa yang berlaku sangat besar dan memberi kesan yang mendalam.
Bilakah Perlu Mendapatkan Bantuan Profesional
Kita sebenarnya tidak perlu menunggu lama sebelum mendapatkan bantuan kesihatan mental. Setiap daripada golongan profesional yang berada dalam lapangan kesihatan mental seperti kaunselor, ahli psikologi klinikal dan doktor psikiatri ada peranannya masing-masing.
Jika masalah yang dihadapi adalah melibatkan hal-hal seharian seperti pengurusan masa, emosi, konflik-konflik dengan orang di sekeliling, keliru tentang arah tuju hidup dan lain-lain, maka kaunselor boleh dirujuk untuk membantu anda.
Manakala ahli psikologi klinikal dan pakar psikiatri pula menjalankan rawatan psikoterapi yang lebih mendalam merangkumi masalah kecelaruan mental seperti kemurungan, kebimbangan, kecelaruan personaliti dan lain-lain. Ada kalanya masalah ini perlu dibantu dengan mendapatkan ubat-ubatan.
Ringkasnya, bantuan profesional diperlukan apabila masalah yang dihadapi telah berlarutan lama, tidak lagi dapat diselesaikan sendiri dan telah memberi kesan kepada diri dan kehidupan seharian.
Sebagaimana kita menjaga diri apabila ditimpa sakit, maka begitu juga kita perlu menjaga kesihatan mental. Badan kita pasti memberikan tanda-tanda apabila minda dan emosi kita tidak berada dalam keadaan baik. Apa yang perlu kita lakukan adalah memberi perhatian dan mengambil tindakan berpandukan apa yang diri kita perlukan.
Sumber gambar: storyset