Fahami Seni ‘Menolak’ Permintaan

0 Comments

Ada keadaan yang memerlukan kita berkata ‘ya’ dan ada juga yang memerlukan kita berkata tidak.

Contoh yang diberikan dalam artikel sebelum ini adalah seperti ditempat kerja – jika permintaan majikan atau rakan tidak mengganggu tugas hakiki dan membantu kelancaran syarikat, maka tidak ada salahnya untuk membantu. Sama seperti ajakan rakan yang sekali-sekala ingin berjumpa dan bertanya khabar.

Dalam situasi yang lain, jika kecenderungan untuk berkata ya sangat tinggi dalam banyak keadaan sehingga mengabaikan keperluan sendiri, maka menolak permintaan adalah kemahiran yang perlu dipelajari.

Namun, sebelum belajar untuk berkata tidak, kita perlu memahami mengapa kita perlu berkata tidak pada masa dan keadaan yang sesuai.

Membina Sempadan Hidup Yang Sihat

Bayangkan jika kita selalu memenuhi kehendak orang lain sehingga tidak ada ruang buat diri sendiri, lama-kelamaan kita akan kepenatan kerana keperluan orang lain akan sentiasa berubah-ubah dan tidak akan habis.

Dengan menolak sesuatu pada waktu dan masa yang sesuai, kita sebenarnya sedang membina sempadan yang sihat antara diri kita dan orang lain. Perlu difahami di sini, kita bukan membina tembok untuk menjauhkan diri, tetapi ruang peribadi untuk keperluan diri.

Mengelak Diri Daripada Dieksploitasi

Berkata tidak atau menolak sesuatu perkara bukan hanya melibatkan permintaan atau kehendak tetapi termasuk bagaimana cara kita dilayan. Kadang-kadang kita sedih apabila dilayan sewenang-wenangnya, dikasari atau dieksploitasi.

Tetapi siapa yang lebih berhak berkata ‘tidak’ dan menolak daripada diperlakukan sedemikian jika tidak diri kita sendiri? Seperti kata pepatah,

“If you don’t decide, someone else will decide for you”

Jika kita sendiri tidak membuat pilihan, maka orang lain akan membuat pilihan untuk kita.

Bila Untuk Berkata Tidak
  1. Apabila pengurusan masa anda antara kerja, diri dan orang lain sudah tidak seimbang.
  2. Apabila anda tidak dapat melakukan perkara yang lebih mustahak.
  3. Apabila berkata ya membuatkan keadaan kesihatan diri dan mental anda semakin teruk.

Anda juga boleh mempertimbangkan untuk menerima atau menolak sesuatu permintaan atau ajakan dengan bertanya soalan-soalan di bawah:

  1. Adakah dengan berkata ya membantu saya mencapai matlamat yang diinginkan?
  2. Adakah permintaan ini selari dengan nilai yang dipegang?
  3. Adakah dengan berkata ya, ia akan menghalang saya melakukan sesuatu yang lebih penting?
  4. Adakah berkata ya membantu atau memburukkan lagi kesihatan mental saya?
  5. Adakah dengan berkata ya, saya akan jadi lebih stres atau lesu upaya (burnout)?
Bagaimana Untuk Berkata Tidak

Menolak sesuatu ajakan atau permintaan juga ada seninya. Anda boleh menggunakan contoh dialog di bawah untuk membantu anda berkata tidak dengan lebih mudah.

1. “Saya minta maaf. Saya tak boleh buat perkara ini buat masa sekarang”

2. “Boleh tak beri saya masa untuk berfikir?”

3. “Saya tak boleh buat perkara ini, tapi saya boleh cuba benda lain”

4. “Saya rasa saya perlu jujur. Saya memang tak boleh”

5. “Saya sangat sibuk hari ini. Mungkin kita boleh luangkan masa pada waktu lain?”

6. “Saya rasa tak selesa untuk buat perkara ni. Ada tak cara lain untuk saya bantu?”

7. “Saya ada komitmen lain buat masa ni. Mungkin lain kali?”

Cara yang disenaraikan di atas agak umum, tetapi anda boleh menyesuaikan dengan cara dan gaya anda sendiri. Kuncinya, fahami keperluan diri dan juga keadaan sekeliling. Nilailah keperluan untuk berkata ya atau tidak secara rasional dan matang.

Rujukan:
Sills, Judith. (2013). The Power of No. Psychology Today.

Scott, Elizabeth. (2022). How to Say No to People. verywellmind.

Previous Post
Fikir Berlebihan (Overthinking) – Hidup Hanya Di Masa Lalu & Masa Hadapan
Next Post
Suburkan Hubungan Dengan Memahami 5 Bahasa Cinta
natirahazira

Graduan ijazah sarjana dalam bidang kaunseling dari Universiti Sains Malaysia (USM). Pernah mendalami bidang psikologi klinikal selama dua tahun di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Kini bekerja sebagai kaunselor bagi sebuah NGO untuk kerja-kerja kemanusiaan.

0 Comments

Leave a Reply

15 49.0138 8.38624 1 0 4000 1 https://mindateduh.com 300 0