KBS – NCEMH Jalin Kerjasama, Tawar Sokongan Kesihatan Mental Untuk Belia
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang menjalinkan kerjasama dengan Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH) di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menawarkan sokongan kesihatan mental terhadap golongan belia yang memerlukan.
Sokongan tersebut antaranya dalam bentuk khidmat kaunseling dalam talian daripada kaunselor berkelayakan dan pakar dalam bidang kesihatan mental.
Dalam ucapan penggulungan KBS dalam RUU Perbekalan 2025 semalam (27 November 2024), Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh turut memaklumkan bahawa melalui program Rakan Muda, beberapa NGO juga telah dilibatkan menerusi Program BeFrienders, Webinar dan Mentalbuoy Lifesaver untuk memberi kesedaran dan sokongan kepada belia yang menghadapi masalah kesihatan mental.
Selain itu, satu Garis Panduan Menangani Isu Kesihatan Mental Belia Malaysia juga telah diwujudkan sebagai rujukan bagi mana-mana individu untuk mendapat pendedahan serta panduan berhubung isu kesihatan mental. Panduan tersebut boleh dimuat turun di laman web Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES).