Tanda Seseorang Alami Rasa ‘Insecurity’

0 Comments

Insecure. Perkataan yang kerap disebut tetapi agak sukar ingin diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu. Namun, inti maksudnya adalah keadaan yang mana seseorang kerap berasa ‘tidak cukup’ dengan diri sendiri, sama ada rasa tidak cukup baik, tidak cukup pandai, atau tidak cukup cemerlang dalam kerja. Ia juga datang dengan rasa tidak pasti atau ragu-ragu terhadap diri sendiri atau kehidupan dalam banyak aspek, termasuklah dalam perhubungan, pekerjaan atau menguruskan suatu tugasan.

Dalam satu kajian oleh Maslow pada tahun 1942 tentang ciri-ciri orang yang mempunyai insecurity adalah orang yang mempunyai persepsi bahawa kehidupan dan dunia adalah tempat yang bahaya, kerap berasa sangsi dan tidak percaya dengan orang lain, kerap berasa resah, tidak puas hati dan tidak gembira.

Daripada penerangan awal di atas, secara logiknya nampak seperti tidak ada sesiapa yang terlepas daripadanya bukan? Memang ada kalanya rasa resah, atau tidak yakin untuk melakukan suatu perkara boleh timbul, lebih-lebih lagi jika ia pengalaman baru dan tidak pernah dihadapi sebelum ini. Tetapi rasa insecurity ini, jika berlanjutan atau memang kerap dirasakan, akan memberi kesan kepada kualiti kehidupan. Maka ia perlu difahami dan diuruskan.

Dari Mana Punca Insecurity

Menurut penerangan daripada laman WebMD, hal ini tidak hanya ada satu punca sahaja. Ia boleh timbul dari pengalaman traumatik (traumatic events), pengalaman yang berulang-ulang, kegagalan atau penolakan, pemerhatian kepada sekeliling atau suasana semasa sama ada di rumah, sekolah atau tempat kerja. Contohnya, pengalaman semasa membesar dalam keadaan sentiasa dileteri, dimarahi kerana kesilapan yang dilakukan atau ibu bapa yang mempunyai standard yang tinggi pada diri seseorang anak juga boleh memberikan pengaruh kepada masalah insecurity ini.

Punca-punca ini boleh membawa kepada cara fikir negatif dan tidak seimbang, rasa cemas serta tidak dapat mengekspresikan diri dan emosi dengan sebenar-benarnya. Ia boleh memberi kesan kepada kualiti perhubungan seperti dengan pasangan, rakan sekerja malah ahli keluarga sendiri.

Insecurity ini boleh dibahagikan kepada banyak kategori antaranya berkaitan insecurity dalam hubungan, pekerjaan, imej diri, dan pergaulan sosial. Seseorang boleh berasa insecure dalam hubungan tetapi baik-baik sahaja dalam perkara lain. Rasa insecurity boleh dikenalpasti melalui tanda-tanda ini:

#1- Rendah ‘Self-Esteem’ (Rasa Penghargaan Diri)

Tanda penghargaan diri yang rendah ini boleh dilihat apabila seseorang mempunyai imej negatif kepada diri sendiri – berfikir secara buruk atau negatif kepada diri sendiri. Contohnya; “Saya seorang yang lemah, tidak ada banyak kemahiran”.

#2- Rasa Perlu Membuktikan Kemampuan Dan Kejayaan

Orang yang yakin dengan diri sendiri biasanya tidak peduli dengan pandangan orang lain terhadap dirinya. Dia tahu apa yang dia lakukan dan mahukan. Dia tidak perlu membuktikan usaha atau kejayaannya kepada sesiapa.

Sebaliknya dengan orang yang ada insecurity, mereka rasa perlu menunjuk dan membuktikan apa yang dia ada kepada orang lain – apabila orang tahu, barulah dia berasa dirinya bernilai dan penting.

#3 – Humblebrag (Perasaan Bangga Diri Secara Halus)

Perkataan ini semakin banyak digunakan di media sosial. Ia adalah perasaan bangga diri yang disorokkan dengan kata-kata yang seakan-akan merendah diri. Tujuannya adalah menunjuk tetapi tidak mahu dilihat seperti terlalu menunjuk.

Contohnya;

“Saya tak belajar sangat pun, tapi Alhamdulillah dapat straight A”

“Akan travel ke 3 negara minggu ni, tapi nak buat macam mana, tanggung jawab kerja”

Sama seperti point ke-2, dalam soal humblebrag ini, seseorang berasa perlu untuk memberitahu keadaan, pencapaian, dan kejayaan dirinya.

#4- Insecurity Dalam Bentuk Perfectionism

Rasa insecurity juga boleh datang dalam bentuk perfectionism (mencari kesempurnaan yang tidak realistik ). Kadang-kadang, orang yang ada rasa insecurity kerap mencari validasi dan harga diri melalui kegigihannya untuk mencapai kesempurnaan. Mereka cuba menutup rasa kekurangan dengan usaha mencapai kesempurnaan. Mereka rendah toleransi dengan kesalahan atau kekurangan.

Hasilnya, mereka kerap mengeluh dan tidak berpuas hati, atau kerap menyalahkan diri atau orang lain.

Walau bagaimanapun, rasa insecurity ini boleh diuruskan dan diubah apabila kita menyedari dari mana ia timbul. Apabila kita mula faham tentang diri sendiri, dan kehidupan bagaimana yang kita inginkan, proses perubahan akan menjadi lebih jelas.

Rujukan:

WebMD Editorial. (2022). Signs of insecurity. WebMD.
Susan Krauss Whitbourne. (2024). 4 signs that someone is insecure. Psychology Today.
Melanie Greenberg. (2015). The 3 most common causes of insecurity and how to beat them. Psychology Today.

Previous Post
4 Gaya Keibubapaan, Anda Yang Mana Satu?
Next Post
KBS – NCEMH Jalin Kerjasama, Tawar Sokongan Kesihatan Mental Untuk Belia
natirahazira

Graduan ijazah sarjana dalam bidang kaunseling dari Universiti Sains Malaysia (USM). Pernah mendalami bidang psikologi klinikal selama dua tahun di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Kini bekerja sebagai kaunselor bagi sebuah NGO untuk kerja-kerja kemanusiaan.

0 Comments

Leave a Reply

15 49.0138 8.38624 1 0 4000 1 https://mindateduh.com 300 0