Jika Ada 3 Tanda Ini, Anda Perlu Belajar Kemahiran Komunikasi Yang Lebih Sihat

0 Comments

Selama ini saya fikir saya seorang yang mudah dibawa berbincang apabila suatu konflik berlaku. Fikir saya, saya seorang yang mudah menerima kritikan yang membina dengan lapang dada.

Dahulu, banyak kata-kata orang yang boleh menyebabkan saya triggered atau mudah terasa. Setiap kata-kata yang tidak selari dengan prinsip, nilai dan pemahaman saya kepada diri sendiri, saya tafsirkan sebagai ‘serangan’, mencalar ego, menyakitkan dan bertujuan menjatuhkan diri saya. Betapa rapuhnya sistem kepercayaan dan juga penghargaan kendiri (self-esteem) saya pada waktu itu.

Namun belajar ilmu-ilmu kaunseling membuatkan saya sedar satu perkara, kemahiran komunikasi tidak sepenuhnya dikuasai walaupun pengalaman hidup semakin bertambah. Tidak dapat tidak, ia perlu dipelajari.

Namun sebelum kita belajar kemahiran komunikasi, ada hal lebih penting yang perlu dibuat iaitu mengakui bahawa kita ada isu komunikasi dengan orang. Bagaimana untuk mengetahuinya? Berikut tiga perkara yang boleh disemak:

#1- Selalu Menggunakan Corak Pergaduhan Yang Sama Berkali-kali

Anda selalu menggunakan corak pergaduhan yang sama berkali-kali. Contohnya tidak mengaku salah apabila bergaduh, tidak mahu mendengar penjelasan yang diberikan, menyerang personaliti orang berbanding membincangkan topik permasalahan dan lain-lain.

Jika hal ini berlaku, bermakna anda belum mempunyai kemahiran menyelesaikan konflik secara efektif.

#2- Anda Mengelak Berbincang Topik Tertentu

Anda elak daripada berbincang hal-hal yang dirasakan sensitif, dengan alasan tidak mahu bergaduh, tidak mahu menjadikan masalah semakin besar dan tidak mahu berdepan dengan rasa tidak selesa.

Walhal, tindakan mengelak ini boleh mengakibatkan hubungan anda dengan orang tersebut semakin jauh, tidak ada pertautan emosi (emotional connection), dan yang paling jelas sudah tentu rasa tidak gembira.

#3- Anda Kerap Rasa Tidak Difahami, Tidak Didengari atau Dilihat

Tanda ketiga ialah anda selalu rasa orang tidak faham anda, dan orang tidak dengar apa yang anda cuba sampaikan. Sama juga dengan orang yang dilawan bercakap, mereka juga mungkin rasa tidak difahami dan tidak didengari oleh diri anda.

Hal ini boleh mencalar ego dan mungkin akan menyebabkan perasaan-perasaan lain datang seperti rasa bersendirian, tidak terhubung (disconnected) dan rasa sunyi.

Tidak dinafikan, boleh jadi orang itu sendiri yang mempunyai masalah komunikasi, atau boleh jadi juga anda masih belum mampu menyampaikan mesej dengan baik.

Kesimpulan

Menunjukkan siapa salah dan siapa betul bukanlah tujuan utama dalam komunikasi, tetapi yang penting ialah mesej dan maklumat mampu disampaikan dengan cara yang paling berkesan. Justeru jika perkara-perkara yang diterangkan di atas sedang anda lalui, mungkin ini masanya anda mengakui ada sesuatu yang perlu diubah dengan cara komunikasi.

Rujukan:

Caitlin Cantor. (2022). 3 signs you need to learn healthier communication skills. Psychology Today.

Previous Post
7 Cara Bergaduh Dengan Pasangan
Next Post
KKM Lancar Talian Heal, Bantu Tangani Isu Kesihatan Mental
natirahazira

Graduan ijazah sarjana dalam bidang kaunseling dari Universiti Sains Malaysia (USM). Pernah mendalami bidang psikologi klinikal selama dua tahun di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Kini bekerja sebagai kaunselor bagi sebuah NGO untuk kerja-kerja kemanusiaan.

0 Comments

Leave a Reply

15 49.0138 8.38624 1 0 4000 1 https://mindateduh.com 300 0