Kemahiran Komunikasi yang Kanak-Kanak Hilang Apabila Berada Banyak Di Rumah
Menurut Rebecca Rolland, seorang ahli patologi pertuturan-bahasa, beliau mengatakan sering mendengar ibu bapa bertanya bagaimana untuk mengurangkan masa anak mereka di hadapan skrin. Ramai ibu bapa merasakan aktiviti mudah atau permainan tradisional tidak dapat menandingi keseronokan segera yang datang daripada permainan dalam talian. Permainan papan (board games) dianggap “bosan”, keluar bermain di luar rumah pula “tidak berguna”.
Namun, kajian terbaru mencadangkan bahawa mungkin kita perlu mengubah cara fikir dan melihat semula apa sebenarnya yang anak-anak perlukan. Menurut satu kajian, kanak-kanak sebenarnya tidak mendambakan lebih banyak hiburan digital, sebaliknya mereka mahukan masa bermain bebas di dunia sebenar. Bukan dalam bentuk permainan maya seperti Roblox (yang dimainkan oleh 75% kanak-kanak), tetapi kebebasan bermain “dunia sebenar” tanpa kawalan atau arahan orang dewasa.
Kajian ini dijalankan oleh The Anxious Generation bersama Let Grow, yang meninjau kanak-kanak berumur 8 hingga 12 tahun secara langsung, bukan melalui pendapat atau tanggapan ibu bapa. Hasilnya menunjukkan jurang besar antara apa yang orang dewasa sediakan dan apa yang anak-anak benar-benar mahukan. Malah, ramai kanak-kanak menyatakan bahawa lebih banyak kebebasan akan membantu mereka menjauhkan diri daripada skrin.
Menurut Lenore Skenazy, presiden Let Grow dan pengasas gerakan Free-Range Kids, “Kanak-kanak sebenarnya merindukan keseronokan bermain secara bebas, rasa seronok apabila dapat mencipta sesuatu sendiri.” Data kajian tersebut mengesahkan hipotesisnya iaitu kanak-kanak menunjukkan keinginan yang mendalam untuk berdikari, walaupun kita sering tidak memberi ruang secukupnya.
Konsep Bermain Interaktif
Satu program yang dipanggilkan Let Grow Play Clubs diasaskan di New York, di mana kanak-kanak dari pelbagai umur bermain bersama selama satu atau dua jam, sama ada di luar atau di dalam dewan, tanpa struktur, tanpa peraturan ketat, tanpa skrin, dan dengan pengawasan minimum daripada orang dewasa.
Di situ mereka belajar berbincang tentang pilihan permainan yang mungkin kedengaran seperti perselisihan atau perbalahan bagi orang dewasa, tetapi sebenarnya mereka belajar kemahiran negosiasi. Di satu aspek lain, kanak-kanak belajar tentang perspektif rakan yang lain (empati) ketika berbincang (kemahiran berbahasa). Semua ini jelas sangat membantu kemahiran komunikasi, berbahasa serta kemahiran sosial berbanding bermain permainan video atas talian.
Bebas di Dunia Maya, Tapi Tidak di Dunia Sebenar
Data kajian menunjukkan satu ironi besar, ramai kanak-kanak bebas bergerak di dunia maya, tetapi tidak di dunia sebenar. Lebih separuh tidak pernah berjalan sendirian di lorong pasar raya, tetapi dibenarkan melayari internet tanpa had.
Situasi ini boleh menjejaskan perkembangan kemahiran sosial dan komunikasi asas. Bayangkan seorang kanak-kanak yang tidak pernah perlu bertanya arah, atau membantu rakan menyelesaikan masalah. Tanpa peluang ini, mereka boleh menjadi canggung sosial walaupun secara semula jadi peramah. Mereka tidak tahu bagaimana memulakan perbualan atau mengurus perasaan orang lain.
Mengapa Aktiviti Seperti ‘Pergi Kedai’ Penting
Dalam program yang dijalankan Let Grow juga, tugasan “kerja rumah” khas diperkenalkan. Kanak-kanak diberi cabaran untuk melakukan sesuatu sendiri – dengan izin ibu bapa, tetapi tanpa bantuan mereka. Contohnya, pergi membeli barang, masak sendiri, atau panjat pokok. Aktiviti kecil ini melatih mereka berdikari dan membina keyakinan diri.
Menariknya, 75% kanak-kanak yang ditinjau berkata mereka berharap lebih ramai rakan tinggal berdekatan supaya mereka boleh bermain bersama. Hal ini menunjukkan mereka sedar betapa pentingnya hubungan sosial sebenar.
Sebagai ahli patologi pertuturan-bahasa, Rebecca juga perasan bahawa kanak-kanak yang terlalu banyak menyertai aktiviti yang dikawal orang dewasa sering kurang kemahiran berunding dengan rakan sebaya, menyelesaikan konflik, atau mempertahankan diri. Kajian besar oleh University of Calgary (2025) melibatkan lebih 62,000 kanak-kanak berumur 2-12 tahun mendapati hubungan rapat antara kemahiran bahasa dan kemahiran sosial, menunjukkan bahawa interaksi bebas amat penting dalam kedua-dua aspek ini.
Faktor Ketakutan: Mengapa Ibu Bapa Terlalu Melindungi
Skenazy menegaskan bahawa pendekatannya bukan untuk mengkritik ibu bapa, tetapi untuk menyokong mereka. Beliau faham bahawa ibu bapa kini lebih tertekan dan sibuk daripada generasi terdahulu. Namun, beliau membezakan dengan jelas antara “pengabaian” dan “kebebasan bersesuaian dengan umur”.
Masalah utama ialah ketakutan. Satu tinjauan di Amerika mendapati 50 peratus ibu bapa percaya bahawa dua kanak-kanak berumur 10 tahun yang bermain di taman tanpa pengawasan berisiko diculik, walhal statistik menunjukkan kejadian seperti itu sangat jarang.
Di Malaysia pula, mungkin kekerapan berita-berita melibatkan kes penculikan serta jenayah melibatkan kanak-kanak menjadikan ibu bapa terlalu bimbang dan sangat berhati-hati.
Menurut Skenazy, cara terbaik mengatasi ketakutan ini ialah melalui pengalaman positif. Apabila anak berjaya melakukan sesuatu sendiri, keyakinan ibu bapa turut meningkat. Lama-kelamaan, mereka belajar bahawa memberi ruang kepada anak bukanlah tindakan berbahaya, tetapi satu cara mendidik kecekapan dan keyakinan diri.
Langkah kecil boleh dimulakan seperti menghantar anak ke kedai runcit, dan membiarkan anak masuk sendiri membeli barang, sambil ibu bapa menunggu di luar kedai.
Kebebasan Membangun Keyakinan dan Kemahiran Komunikasi
Kajian dan pengalaman Play Club menunjukkan kesimpulan yang sama, kanak-kanak sebenarnya bersedia untuk mempunyai lebih kebebasan, malah mereka mahukannya.
Namun, jika kita terus mengutamakan kebebasan dalam dunia maya berbanding dunia sebenar, kita berisiko melahirkan generasi yang cekap dalam teknologi tetapi lemah dalam kemahiran berinteraksi sesama manusia.
Masyarakat perlu menyediakan ruang selamat di mana kanak-kanak boleh bermain tanpa pengawasan berterusan. Kita tidak boleh menunggu dunia menjadi “sempurna” sebelum membenarkan mereka berdikari.
Artikel telah diolah dan diubahsuai dari:
Rebecca Rolland. (2025). The communication skills kids miss when they stay indoors. Psychology Today.