Not Good Enough – Kenapa Rasa Tak Cukup Bagus?

0 Comments

Anda kerap ragu dengan diri sendiri, sentiasa rasa kurang, tidak yakin, dan tidak puas hati dengan diri sendiri? Mempunyai perasaan tidak cukup bagus atau “not good enough” secara berterusan adalah sesuatu yang mencabar.

Kesannya mungkin boleh merebak kepada aspek lain dalam hidup seperti keharmonian dalam perhubungan, persahabatan atau prestasi pekerjaan.

Sebagai kaunselor, saya juga kerap menerima luahan seperti ini dari klien. Ia boleh jadi perasaan yang datang sekejap sahaja kerana memang terjadi sesuatu yang membuatkan anda berasa ragu, contohnya memang ada kekurangan pada kerja yang disiapkan.

Ataupun, ia boleh jadi perasaan yang sentiasa menghantui walaupun perkara yang dilakukan sudah cukup baik di mata orang lain – dan ini mungkin berpunca dari pengalaman masa kecil yang mencederakan perasaan sekian lama. Contohnya jangkaan (expectation) yang tinggi daripada ibu bapa atau orang di sekeliling sewaktu membesar, mungkin kerap dimarahi atas kesalahan-kesalahan kecil yang dilakukan, diabaikan atau selalu dibanding-bandingkan.

Tanpa sedar, ia perlahan-lahan membentuk satu kepercayaan (belief) dalam diri bahawa memang ada sesuatu yang kurang tentang diri sendiri. Harga diri (self-esteem) dan keyakinan diri (self-confidence) pula menjadi rendah. Kita tidak rasa diri bernilai dan berkemampuan. Kita sentiasa rasa diri salah dan tidak cukup.

Sesetengah orang pula menjadi seorang yang perfeksionis, ada standard yang tinggi terhadap sesuatu dan sentiasa cuba membuktikan diri terbaik (kerana jauh di sudut hati ada kepercayaan bahawa diri kurang dan tidak sempurna).

Apa yang perlu difahami, pemikiran seorang kanak-kanak tidak sama dengan pemikiran manusia dewasa. Di tahap kanak-kanak dahulu, fikiran kita belum dapat merasionalkan banyak benda. Lalu apabila sesuatu berlaku, minda kanak-kanak kita mencari sebab mengapa ia berlaku. Dan kesimpulan-kesimpulan yang salah boleh terbentuk;

“Mesti ada yang kurang pada saya, sebab itu saya kena marah”.

“Mesti saya bodoh, sebab itu ayah selalu banding-bandingkan dengan orang lain”.

“Mesti saya tak cukup bagus, sebab itu mak selalu tak puas hati dengan semua yang saya buat”.

Hakikatnya, kanak-kanak sangat memerlukan bimbingan daripada orang dewasa di sekeliling mereka, supaya mereka boleh memahami mesej yang didengari dengan betul.

Tetapi bagaimana pula jika sekarang kita sudah dewasa. Peristiwa-peristiwa yang membuatkan keyakinan kita rendah dan sentiasa rasa tidak cukup pula sudah lama berlalu, tetapi kesannya masih menghantui hingga ke kehidupan sekarang?

Justeru, untuk memahami daripada mana ‘rasa tidak cukup bagus’ ini datang, kita perlu merenung semula ke dalam diri dan bertanya;

“Bilakah kali pertama agaknya saya rasa tidak cukup bagus begini?”
“Apa yang sebenarnya terjadi ketika saya rasa begitu?”

Menyedari dari mana ia bermula adalah langkah pertama sebelum kita bercakap lebih lanjut tentang apa yang perlu dilakukan untuk menyembuhkan pemikiran yang kurang seimbang ini.

Ikuti perbincangan lanjut daripada Minda Teduh dalam artikel akan datang.

Previous Post
9 Salah Faham Yang Selalu Timbul Tentang Kaunseling
Next Post
Bila Hilang Motivasi di Tempat Kerja – Apa Yang Boleh Dibuat?
natirahazira

Graduan ijazah sarjana dalam bidang kaunseling dari Universiti Sains Malaysia (USM). Pernah mendalami bidang psikologi klinikal selama dua tahun di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Kini bekerja sebagai kaunselor bagi sebuah NGO untuk kerja-kerja kemanusiaan.

0 Comments

Leave a Reply

15 49.0138 8.38624 1 0 4000 1 https://mindateduh.com 300 0