9 Salah Faham Yang Selalu Timbul Tentang Kaunseling

0 Comments

Mungkin ada di antara anda yang pernah melalui pengalaman yang kurang menyenangkan dengan kaunselor, sehingga tercetusnya kefahaman yang tidak tepat berkenaan kaunseling.

Hakikatnya, tidak semua kaunselor begitu. Sebelum seseorang menjadi kaunselor, dia telah melalui pembelajaran dan latihan yang komprehensif terutamanya penekanan berkaitan profesionalisme dan etika.

Seterusnya kaunselor itu perlu terus meningkatkan ilmu dan latihannya sendiri setelah tamat belajar. Semua kaunselor yang menjalankan kaunseling pula perlu memperbaharui perakuan amalan setiap dua tahun. Sebelum kita pergi lebih jauh, mari kita lihat sembilan salah faham yang biasa timbul berkaitan kaunseling mahupun kaunselor.

#1 – Sesi Kaunseling Untuk Orang Yang Ada Masalah Sahaja

*Sesi kaunseling juga boleh dilalui sekalipun tidak mempunyai masalah. Contohnya untuk tujuan meneroka minat dalam kerjaya, meneroka kelemahan dan kekuatan diri, dilema untuk membuat pilihan dan lain-lain.

#2 – Sesi Kaunseling Boleh Dilakukan Di Mana-mana Saja

*Sesi kaunseling seeloknya tidak dilakukan di tempat terbuka atau ramai orang bagi mengelakkan isu yang diceritakan terdedah kepada pendengaran orang lain. Walau bagaimanapun, ia bergantung kepada keselesaan dan keperluan klien sendiri. Jika sesi kaunseling terpaksa dijalankan di tempat terbuka seperti kafe atau perpustakaan, kaunselor mestilah memastikan kerahsiaan klien masih terjaga.

#3 – Kaunselor Mesti Memberikan Cadangan Dan Cara Menyelesaikan

*Tujuan kaunseling dilakukan bukan untuk memberi klien cara menyelesaikan masalah tetapi bimbingan yang mendalam sehingga klien sendiri dapat melihat satu-satu masalah dan kemungkinan penyelesaian dengan lebih jelas. Di akhirnya, klien dapat mempelajari kemahiran yang berguna yang dapat digunakan untuk isu-isu yang lain pula.

#4 – Kaunselor Susah Menjaga Kerahsiaan Klien

*Penjagaan kerahsiaan bergantung kepada sejauh mana seorang kaunselor beretika atau tidak. Sebelum sesi kaunseling dimulakan, sepatutnya perjanjian kerahsiaan telah ditandatangani antara klien dan kaunselor. Kaunselor mesti menjaga kerahsiaan klien, tetapi klien sendiri bebas untuk berkongsi pengalamannya dengan kaunselor kepada orang lain.

#5 – Kerja Kaunselor Mendengar Sahaja Luahan Cerita Seorang Klien

*Kerja seorang kaunselor tidak hanya mendengar sahaja, tetapi termasuk berbincang, melontarkan soalan-soalan yang dirasakan penting, serta membimbing klien menggunakan teknik-teknik tertentu yang dirasakan sesuai.

#6 – Kaunseling Cukup Dilakukan Sekali Sahaja

*Jumlah sesi kaunseling adalah bergantung kepada sejauh mana rumit sesuatu isu yang dibawa oleh klien. Setelah sesi pertama, biasanya kaunselor akan mencadangkan sama ada sesi perlu diteruskan lagi atau tidak pada masa akan datang.

#7 – Sesi Kaunseling Boleh Dilakukan Untuk Masalah-Masalah Melibatkan Penyakit Mental

*Sesi kaunseling bermanfaat dilakukan untuk masalah-masalah harian yang tidak kronik seperti stres, masalah hubungan, masalah kerja, rasa cemas dan bimbang yang ringan. Kaunseling tidak lagi sesuai apabila klien dalam keadaan tidak stabil (sudah ada cubaan bunuh diri), telah didiagnosis penyakit mental atau tidak lagi mampu menjalankan fungsi harian seperti bekerja dan bersosial. Untuk keadaan seperti ini, individu tersebut perlu segera berjumpa doktor atau pakar psikologi klinikal.

#8 – Pendekatan Atau Cara Setiap Kaunselor Sama Sahaja

*Setiap kaunselor mempunyai cara tersendiri dalam mengendalikan sesi kaunseling. Ia juga bergantung kepada sejauh mana latihan dan ilmu yang kaunselor ada. Sesetengah kaunselor menggunakan teknik tertentu yang mungkin tidak sama dengan kaunselor yang lain, tetapi masih berguna untuk membantu klien.

#9 – Bayaran Kaunseling Mahal

*Hal ini tidak begitu tepat. Sebenarnya banyak pihak yang menawarkan khidmat kaunseling sama ada dari pihak kerajaan mahupun swasta. Contoh agensi-agensi kerajaan yang menawarkan khidmat kaunseling yang percuma atau bayaran yang rendah seperti Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dan Klinik MENTARI di bawah inisiatif Kementerian Kesihatan Malaysia.

Kesimpulan

Proses kaunseling yang baik adalah yang dikelolakan oleh kaunselor yang menjaga etika dan profesionalisme. Jika anda pernah berdepan dengan kaunselor yang tidak profesional, bukanlah bermakna semua kaunselor begitu. Semoga dengan sedikit penjelasan ini, ia dapat membantu anda memahami fungsi dan peranan sesi kaunseling dengan lebih baik.

Previous Post
‘Toxic Positivity’ – Bila Terlalu Positif Jadi Racun
Next Post
Not Good Enough – Kenapa Rasa Tak Cukup Bagus?
natirahazira

Graduan ijazah sarjana dalam bidang kaunseling dari Universiti Sains Malaysia (USM). Pernah mendalami bidang psikologi klinikal selama dua tahun di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Kini bekerja sebagai kaunselor bagi sebuah NGO untuk kerja-kerja kemanusiaan.

0 Comments

Leave a Reply

15 49.0138 8.38624 1 0 4000 1 https://mindateduh.com 300 0