Konvensyen Kesihatan Mental 2025 – Hentikan Stigma, Kesihatan Mental Milik Semua
Konvensyen Kesihatan Mental 2025 anjuran Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH), Kementerian Kesihatan Malaysia menutup tirainya hari ini setelah berlangsung selama tiga hari bermula 19 Februari 2025 lalu di Bangi Avenue Convention Centre, Kajang, Selangor.
Sepanjang tiga hari, pelbagai aktiviti telah berjalan antaranya forum, bengkel dan pameran seputar topik kesihatan mental. Menariknya, konvensyen ini juga menjadi ruang sesi pembentangan projek ‘Laman Minda Sihat’, iaitu penubuhan ruang santai berfokuskan kesihatan mental di 15 Jabatan Kesihatan Negeri seluruh Malaysia.
Antara perkara yang dibincang dan dikongsikan juga termasuk peranan media sosial dalam membentuk persepsi tentang kesihatan mental, pemerkasaan komuniti melalui peranan badan bukan kerajaan (NGO), pengurusan emosi anak-anak yang menghidap autisme, pengukuhan sokongan kesihatan mental untuk golongan lelaki serta kesihatan mental di tempat kerja.
Kempen ‘Perangi Stigma’ turut dilancarkan sebagai usaha untuk meningkatkan tahap literasi kesihatan mental dan mendidik masyarakat mengubah persepsi negatif berkaitan kesihatan mental ke arah yang lebih positif.