Beza Psikiatris vs Psikologis Klinikal vs Kaunselor
Psikiatris
Psikiatris adalah seorang doktor perubatan, yang telah menjalani pengajian dan latihan perubatan, kemudian mendapatkan kepakaran dalam bahagian psikiatri, sama seperti doktor yang pakar dalam bahagian tulang, pakar perbidanan serta sakit puan dan lain-lain.
Rawatan yang boleh diberikan oleh seorang psikiatris merangkumi diagnosis, rawatan dan pencegahan penyakit mental dari peringkat ringan sehingga kes kronik. Antara contoh masalah kesihatan mental yang boleh dibantu psikiatris seperti masalah gangguan personaliti, kecelaruan obsesif kompulsif (OCD), kemurungan (depresi) dan lain-lain.
Mereka juga boleh memberikan rawatan berasaskan ubat-ubatan jika dirasakan perlu serta psikoterapi (terapi melalui bercakap).
Psikologis Klinikal
Seorang psikologis klinikal adalah golongan profesional yang telah melalui fasa pembelajaran khusus berkaitan psikologi klinikal (bukan hanya psikologi umum) dan telah melalui latihan yang intensif di pusat psikologi atau hospital.
Sama seperti doktor psikiatri, mereka juga boleh melakukan psikoterapi dan memberikan diagnosis seperti pengesahan penyakit mental tetapi tidak boleh memberikan rawatan berasaskan ubat-ubatan.
Kaunselor
Kaunselor pula adalah golongan profesional yang mengambil pengkhususan kaunseling ketika di universiti dan boleh berkhidmat dalam lapangan kesihatan mental setelah mendapat lesen kaunselor dari Lembaga Kaunselor Malaysia.
Seperti psikologis klinikal, seorang kaunselor juga boleh melakukan psikoterapi (terapi melalui bercakap) atau kaunseling, tetapi tidak boleh melakukan diagnosis dan rawatan berasaskan ubat.
Kebiasaannya isu-isu yang diterima kaunselor pula adalah berkaitan masalah harian yang boleh menjejaskan kesihatan mental tetapi tidak kronik, seperti masalah perhubungan, dilema pekerjaan, stres, rasa cemas dan lain-lain.
Kaedah rawatan yang digunakan dalam sesi kaunseling bukan hanya mendengar dan menasihat tetapi termasuk kaedah terapi tertentu yang boleh digunakan seperti Terapi Kognitif Tingkah Laku (Cognitive Behavioural Therapy, CBT) , Dialectical Behaviour Therapy (DBT), Acceptance and Commitment Therapy (ACT) yang biasanya dipakai oleh psikologis klinikal dan psikiatris.
***
Jika anda rasa kesihatan mental anda sedang terjejas dan masih bingung untuk mendapatkan rawatan atau merasakan isu yang dihadapi tidak terlalu teruk, anda boleh sahaja memilih untuk berjumpa kaunselor dahulu untuk konsultasi dan kaunseling awal. Kaunselor boleh menilai sama ada anda boleh dibantu melalui kaunseling, atau memerlukan rawatan lanjut dari psikologis klinikal atau psikiatris.
Pilihan kedua, anda juga boleh memilih untuk terus ke klinik kesihatan kerajaan terdekat dan mendapatkan saringan awal kesihatan mental. Dari situ, anda boleh dirujuk kepada psikologis klinikal atau psikiatris di hospital. Pilihan terakhir, anda boleh terus ke mana-mana pusat psikologi persendirian (swasta) bagi mendapatkan khidmat yang diperlukan.