3 Benda Ini Jika Dilakukan Setiap Hari, Boleh Menyekat Rasa Bahagia

0 Comments

1 – Merungut Tentang Banyak Benda

Pernah tak anda berjumpa dengan orang yang suka merungut – dari sekecil-kecil hal seperti rasa makanan, sehingga ke cerita-cerita politik dan negara. Sekilas pandang, nampak seperti hidupnya sangat tak bahagia dengan banyak benda. Dan kita sebagai pendengar boleh berasa penat mendengar rungutan yang tak berkesudahan.

Tetapi kita juga mungkin melakukan hal yang sama, walau tanpa kita sedar dan mungkin dalam hati sahaja – merungut tentang banyaknya tugasan setiap hari, banyak assignment yang perlu dibereskan, atau jem ke tempat kerja.

Kajian mendapati orang yang lebih banyak melihat hal-hal yang baik dan bersyukur walaupun hidupnya ada banyak masalah, lebih bahagia, kurang stres dan mempunyai tahap kesihatan yang lebih baik. Bersyukur atau dalam bahasa psikologinya, gratitude bukanlah bermaksud mengelak dari berfikir tentang masalah atau berfikir positif setiap masa, tetapi melihat dan mengenal pasti hal-hal kecil yang mampu menjadikan hidup terasa lebih bermakna.

Tip: Tuliskan 3 benda yang boleh disyukuri setiap hari, contohnya ada baju yang bersih untuk dipakai hari ini, mampu menaiki kenderaan yang selesa ke tempat kerja, atau ada rakan yang baik.

2 – Kerap Membuat Perbandingan

Membuat perbandingan antara hidup anda dan hidup orang lain juga boleh menghalang rasa bahagia. Perbandingan ini sangat mudah berlaku lebih-lebih lagi di media sosial Ada perasaan tidak selesa yang timbul apabila melihat gambar orang lain bercuti bersama keluarga, makan makanan yang sedap atau membeli kereta baru. Perasaan yang membuatkan anda rasa ‘kurang’ berbanding orang lain; “Mengapa hidup aku tidak indah seperti dia?”

Tabiat ini juga boleh menyekat rasa bahagia jika terlalu dilayan. Apabila anda hanya fokus kepada apa yang orang lain miliki, anda memberi ruang kepada rasa insecurity untuk tumbuh dalam diri – rasa kurang dan tidak cukup. Anda merendahkan pencapaian diri sendiri.

Tip: Hadkan penggunaan media sosial. Jika perlu anda boleh mute status dan hantaran orang lain bagi mengelakkan anda kerap melihat perkembangan hidup mereka dan membuat perbandingan yang tidak sihat.

3 – Menangguhkan Hal Yang Penting

Setiap orang pasti ada perkara yang diimpikan dan ingin dicapai yang dikira dapat membuatkan mereka gembira dan hidup terasa lebih bermakna, contohnya dapat melancong ke luar negara, dapat membelikan barang tertentu untuk ibu dan ayah, atau belajar kemahiran baru yang diluar kebiasaan seperti berenang atau memanah.

Impian-impian ini sudah pasti memerlukan tindakan dan usaha dari diri sendiri – usaha kecil perlu dimulakan, dan hakikatnya usaha kecil ini sangat mudah untuk diabai dan ditangguhkan. Menangguhkan impian sendiri juga boleh mendatangkan perasaan tidak puas dan kecewa di akhirnya.

Tip: Pecahkan matlamat anda kepada bahagian-bahagian kecil. Contohnya jika anda ingin melancong bersama keluarga – mula menabung setahun lebih awal, semak tiket penerbangan, dan merancang perjalanan. Peruntukkan masa untuk impian anda, sekurang-kurangnya 20 minit, untuk beberapa hari dalam seminggu. Anda akan mula merasai kepuasan apabila sedikit demi sedikit dapat melihat progres diri anda.

Hakikatnya, kebahagian bukanlah hanya perasaan yang sementara tetapi ia tercipta dari tabiat yang dilakukan dalam kehidupan sehari-hari. Usah menunggu bahagia, tetapi berusahalah untuk mencapainya.

Previous Post
Bila Anda Perlu Jumpa Kaunselor?
Next Post
Apa Itu Kemurungan atau Depresi?
natirahazira

Graduan ijazah sarjana dalam bidang kaunseling dari Universiti Sains Malaysia (USM). Pernah mendalami bidang psikologi klinikal selama dua tahun di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Kini bekerja sebagai kaunselor bagi sebuah NGO untuk kerja-kerja kemanusiaan.

0 Comments

Leave a Reply

15 49.0138 8.38624 1 0 4000 1 https://mindateduh.com 300 0