Hidup Rasa Kosong – 5 Tips Cari Semula Arah Tuju
Semakin kita dewasa, hidup seolah-olah mengejar dan menuntut kita untuk ada jawapan kepada semua perkara. Kestabilan kerja, kewangan, perhubungan, masa dengan keluarga dan banyak lagi. Semakin lama rasa semakin berat, mungkin tersepit juga, atau berbelah bahagi. Apa yang dibuat rasa tak bermakna, dan tugasan-tugasan kecil pun terlihat seperti gunung yang akan menghempap perasaan pada bila-bila masa.
Hakikatnya anda tak berseorangan, ada masanya kita akan melalui fasa begini dalam hidup – bukan untuk buat kita rasa teruk semata-mata tapi untuk kita berfikir semula tujuan kehidupan, dan bagaimana untuk memaknakan hidup.
Ruang Untuk Berehat Dan Berfikir Semula
Apabila mengalami perasaan seperti itu, mungkin itu tandanya anda perlukan ruang untuk berehat dan berfikir semula. Dalam dunia yang bergerak terlalu laju, mudah untuk kita terjerumus ke dalam perangkap rasa kosong, rasa pegun dan tidak bergerak ke mana-mana.
Bercakaplah dengan diri sendiri lebih banyak, bukan mengikut trend dan acuan kehidupan orang lain yang pasti banyak bezanya daripada diri kita.
Tapi ingat, jawapan tak datang sepantas kilat. Ia biasa tumbuh perlahan-lahan seperti tunas pokok. Mengapa rasa kosong ini ada? Adakah terlalu fokus kepada perkara lain dan melupakan diri sendiri? Adakah kita perlu melihat kehidupan kita dari perspektif yang baru? Adakah ada kemahiran baru yang perlu dipelajari? Beri masa pada diri untuk mencari jawapan.
Peluang Memaknakan Hidup
Lihatlah fasa kosong ini sebagai peluang untuk memaknakan hidup semula. Kehendak hati kita inginkan banyak perkara, tetapi tidak semuanya bermakna.
Seperti yang kerap disebut orang sebagai declutter, hal yang sudah tidak memberi fungsi dan makna, perlu disusun atau dibuang supaya ada ruang baru yang lebih sihat dan tenang. Ia termasuk mental declutter, seperti membuang tabiat, cara fikir, komitmen atau prinsip yang tidak sihat dan tidak membantu anda untuk berkembang.
Ada pula orang mencari makna yang lebih kekal di sebalik kehidupan yang bersifat sementara ini, seperti meninggalkan hal-hal baik yang akan diteruskan kelak, atau meneruskan nilai dan ajaran agama.
Menggilap Semula Nilai (Value) Yang Dipegang
Nilai atau value adalah suatu yang boleh menjadi kompas dalam hidup anda. Ia juga boleh difahami sebagai nilai hidup yang menjadi pegangan, contohnya nilai kejujuran, kepercayaan, kebebasan (freedom), kreativiti, kesihatan dan banyak lagi. Setiap orang mempunyai nilai-nilai berbeza yang menjadi keutamaan yang dipegang.
Biasanya diri kita akan berasa tidak selesa atau tidak puas, jika hidup yang dijalani bertentangan dengan nilai yang dipegang.
Sebagai contoh, orang yang mementingkan nilai kreativiti mungkin akan berasa tidak puas apabila bekerja di bawah arahan orang lain dengan ruang berkreativiti yang terhad. Orang yang sukakan cabaran pula mungkin berasa tidak puas apabila melakukan rutin yang sama.
Jadi, mungkin rasa kosong yang anda alami adalah kerana meletakkan nilai yang salah atau kurang utama sebagai kompas. Ambil peluang ini untuk menilai semula.
Hidup Dengan Tujuan Yang Jelas
Apabila anda hidup dengan tujuan yang jelas, anda lebih jelas dengan apa yang dibuat dan kenapa anda melakukannya. Antara soalan yang boleh anda tanyakan kepada diri seperti:
- Mengapa saya mengambil jalan ini pada mulanya?
- Apa yang menjadi motivasi saya meneruskannya?
- Adakah ia masih sama dengan nilai yang saya pegang?
- Adakah diri saya semakin membangun dan berkembang seiring dengan keperluan jalan yang saya pilih ini?
- Adakah saya boleh usahakan sesuatu atau apa yang saya pilih ini menuntut perkara yang mustahil dari diri saya?
Hakikatnya sesuatu yang kita pilih dalam hidup tidak akan kekal sama seperti waktu kita awal-awal menjalaninya. Adat kehidupan, semakin lama ia semakin mencabar. Semakin lama semakin banyak yang perlu kita pelajari. Dan boleh jadi, semakin lama semakin ia jauh dari nilai yang kita pegang.
Jarakkan Sedikit Diri Dari Keserabutan Yang Dihadapi
Apabila rasa kosong menerpa, hidup mungkin nampak lebih berselirat berbanding keadaan yang sebenar. Minda tertumpu kepada isu yang dihadapi sehingga yang difahami oleh otak adalah – terlalu banyak masalah, terlalu banyak ketidakpastian, terlalu banyak hal yang tidak beres. Walhal, jika perasaan lebih tenang, perkara yang kita lihat ‘terlalu’ tadi sebenarnya adalah hanya sebahagian kecil sahaja dari hidup kita yang lebih besar.
Ada masalah bukan bermakna seluruh hidup kita bermasalah.
Ada rasa kosong bukan bererti seluruh hidup kita tidak bermakna.
Ada cabaran bukan bererti kita tidak boleh melakukan apa-apa.
Rasa kosong yang dialami membawa mesej yang mungkin hanya diri sendiri fahami. Tetapi, dengan sedikit tips dari Minda Teduh, semoga ia mampu memandu anda mencari arah tuju hidup semula.