4 Gaya Keibubapaan, Anda Yang Mana Satu?
Gaya keibubapaan adalah gaya yang digunakan oleh ibu bapa dalam mendidik dan membesarkan anak-anak. Dalam kajian psikologi, empat gaya keibubapaan telah dikenalpasti oleh Dr. Briana Baumrind, iaitu gaya autoritarian, autoritatif, permisif dan pengabaian. Setiap gaya yang digunakan ini sangat berkait rapat dengan perkembangan sosial, emosi, kognitif dan pendidikan anak-anak.
1- Autoritarian
Gaya ini dicirikan oleh ibu bapa yang mempunyai jangkaan yang tinggi terhadap anak-anak, bahawa mereka akan mematuhi arahan dan peraturan. Pendekatan yang biasa digunakan adalah kawalan ketat, peraturan dan hukuman. Anak-anak tidak dibiasakan untuk meluah dan mempunyai pandangan sendiri.
Kesan:
Kesan penggunaan gaya begini akan mengakibatkan kebarangkalian yang tinggi anak-anak rendah penghargaan diri, agresif, tidak gembira dan sukar mengawal emosi.
2- Autoritatif
Gaya ini melibatkan cara memupuk suasana yang menyokong anak-anak. Masalah akan dibincangkan dan diselesaikan bersama-sama. Peraturan masih ada, tetapi ia diterangkan dengan jelas dan baik kepada anak-anak secara positif. Ibu bapa juga lebih cenderung menggunakan pendekatan pujian dan disiplin yang positif berbanding hukuman yang melampau.
Kesan:
Anak-anak yang dididik dengan cara begini akan menjadi orang yang lebih yakin diri, menghargai diri dan selesa berkongsi perasaan dan pandangan mereka. Justeru, mereka juga akan mempunyai hubungan sosial yang lebih baik dengan rakan-rakan, lebih mudah bekerjasama dan lebih stabil dari sudut emosi.
3- Permisif
Gaya permisif pula dicirikan dengan ibu bapa yang tidak konsisten dalam mengenakan peraturan atau hukuman kepada anak-anak. Mereka lebih memilih pendekatan memanjakan anak-anak, dan mengelak dari berkata tidak kerana tidak mahu mengecewakan anak-anak.
Kesan:
Anak-anak sukar mengikut peraturan kerana tidak ada aturan yang jelas, lemah kawalan diri, dan rendah disiplin. Mereka juga boleh menjadi agresif apabila kehendak tidak dipenuhi orang lain.
4- Pengabaian
Gaya ini pula merujuk kepada ibu bapa yang tidak responsif dengan keperluan anak-anak dan tidak juga mempunyai jangkaan yang tinggi terhadap anak-anak. Mereka juga tidak banyak melibatkan diri dan mengambil tahu tentang kehidupan anak-anak. Peraturan sangat sedikit, begitu juga dengan tunjuk ajar.
Kesan:
Gaya begini akan memberi kesan kepada anak-anak seperti rendah motivasi dan prestasi akademik. Mereka cenderung percaya bahawa diri tidak dihargai dan dipeduli oleh ibu bapa lalu mencari orang lain di luar rumah untuk memenuhi keperluan emosi tersebut. Anak-anak juga mudah terikut dengan contoh yang tidak baik dari orang di sekeliling kerana tidak ada panduan dan tunjuk ajar yang betul oleh ibu bapa.
Daripada penerangan dan kajian, didapati bahawa gaya autoritatif adalah lebih baik berbanding gaya keibubapaan yang lain. Hakikatnya memang sukar untuk tetap kepada satu jenis gaya sahaja. Ada masanya ibu bapa akan jadi lebih permisif atau terabai keperluan anak-anak apabila berhadapan dengan konflik yang berat seperti kematian atau perceraian. Tetapi jangan menghukum diri, sebaliknya bangkit kembali dan usahakan cara yang lebih baik buat anak-anak.
Rujukan:
Amy Morin. (2022). The 4 types of parenting styles and how kids are affected. Very Well Family.
Dave Cornell. (2023). The four types of parenting styles. Helpfulprofessor.com