Suburkan Hubungan Dengan Memahami 5 Bahasa Cinta

0 Comments

Konsep bahasa cinta (love language) telah dipopularkan oleh Gary Chapman menerusi bukunya bertajuk The 5 Love Languages: The Secret to Love That Lasts. Konsep bahasa cinta diperkatakan dan sering disebut-sebut sebagai cara seseorang menunjukkan rasa cinta dalam perhubungan.

Menurut Chapman, ada lima bahasa cinta iaitu pemberian hadiah, masa berkualiti, sentuhan, kata-kata dan memberi khidmat. Beliau percaya bahawa setiap orang ada bahasa cinta masing-masing yang perlu difahami pasangan.

Dari sudut psikologi, konsep bahasa cinta ini tidak dikembangkan daripada kajian klinikal. Kajian diterbitkan berkenaan bahasa cinta pula agak bercampur dapatannya.

Walau bagaimanapun, menurut seorang ahli psikoterapi, Stefani Goerlich yang bertugas di Detroit, sekalipun beliau tidak melihat konsep ini sebagai amalan berdasarkan bukti (evidence-based practice), beliau menganggap bahawa konsep ini sesuai digunakan sebagai alat untuk membantu proses terapi yang dijalankan melibatkan pasangan.

Manakala kajian oleh Hazelwood pula mendapati bahawa konsep ini akan membantu jika kedua-dua pasangan mampu mengawal dan mengubah perangai masing-masing.

Jika anda ingin lebih memahami pasangan melalui kaedah ini, apa kata kita telusuri lima bahasa cinta yang disebut oleh Chapman.

Kata-kata Peneguhan (Word of Affirmation)

Kata-kata peneguhan di sini bermaksud apa sahaja kata-kata yang berisi penghargaan, pujian dan hal-hal yang positif.

“Terima kasih sebab selalu sediakan makanan”

“Awak ada kelebihan dalam perkara ni, awak boleh cuba kalau nak”

Kata Chapman, kadang-kadang ada potensi yang terselindung dalam diri pasangan yang boleh dikembangkan apabila menerima kata-kata positif daripada pasangan.

Kita sendiri jika menerima kata dorongan daripada pasangan untuk melakukan sesuatu perkara, pasti rasa lebih bersemangat bukan?

Masa Berkualiti (Quality Time)

Masa berkualiti bermaksud waktu di mana perhatian diberikan sepenuhnya kepada pasangan. Bermakna, masa ini tidak ada gangguan luaran seperti kerja, telefon dan lain-lain.

Jika anda keluar makan dengan pasangan tetapi dalam masa sama bermain telefon atau game, itu bukan dikatakan masa yang berkualiti.

Masa berkualiti juga bukan bermakna anda perlu sentiasa tenung mata pasangan, tetapi elemen penting dalam bahasa cinta kedua ini adalah kebersamaan (togetherness) – anda dan pasangan melakukan sesuatu bersama-sama dan saling berhubung.

Contohnya jika anda dan pasangan menonton cerita bersama-sama, fokus masa berkualiti bukanlah kepada cerita tetapi detik yang dikongsi serta emosi yang dirasai bersama.

Penerimaan Hadiah (Receiving Gifts)

Pernahkah anda terfikir mengapa dalam majlis perkahwinan, pasangan pengantin akan saling bertukar cincin? Apa pentingnya cincin jika ikatan sudah halal?

Cincin adalah simbol ada suatu ikatan penting antara kedua-dua pasangan. Begitu juga dengan hadiah, hadiah yang diberikan juga pasti terselit makna dan penghargaan.

Hadiah adalah simbol visual bagi menggambarkan penghargaan. Bagi individu yang mementingkan bahasa cinta ini, pemberian dan penerimaan hadiah adalah hal yang mustahak dalam perhubungan. Pemilihan hadiah sama ada mahal atau tidak bergantung pula kepada individu, ada yang tidak mementingkan harga dan ada pula yang mementingkan harga.

Perbuatan Memberi Khidmat (Act of Service)

Bagi orang yang mementingkan bahasa cinta ini pula, perbuatan memberi khidmat adalah hal yang menjadi keutamaan. Jika diberikan pilihan antara menerima bunga dan mendapat bantuan mengemas rumah, mereka mungkin lebih sukakan yang kedua.

Perbuatan memberi khidmat yang dimaksudkan adalah melakukan sesuatu yang disukai oleh pasangan sama ada memberi bantuan atau memudahkan urusannya.

Tetapi hati-hati, perlu diteliti juga cara anda melakukan sesuatu untuk pasangan. Kadang-kadang, para suami mungkin pening jika dia telah melakukan banyak kerja rumah, tetapi isteri masih tidak puas hati. Periksa semula, adakah baju yang dilipat tidak tersusun elok, pinggan yang dibasuh masih berbau sabun atau lantai yang disapu masih tertinggal rambut?

Kunci di sini, buat sesuatu yang pasangan sukai! Jika tidak tahu, anda boleh tanya dan pelajari.

Sentuhan Fizikal (Physical Touch)

Sentuhan fizikal diketahui memberi hubungan emosi antara manusia. Bahkan, banyak kajian dibuat tentang tumbesaran kanak-kanak mendapati bayi yang dipegang, dipeluk dan dicium akan membesar dalam emosi yang sihat berbanding bayi yang dibiarkan tanpa sentuhan fizikal.

Justeru, sentuhan fizikal juga diperlukan dalam perhubungan – berpegangan tangan, gosokan, ciuman, duduk berdekatan dan lain-lain. Bagi sesetengah orang yang mengutamakan bahasa cinta ini, mereka kurang rasa disayangi jika tidak ada sentuhan fizikal.

Setiap orang tidak semestinya ada satu bahasa cinta sahaja, tetapi pasti ada jenis bahasa cinta yang menjadi pilihan dan keutamaan. Bahasa cinta juga boleh berubah-ubah mengikut keperluan keadaan. Memahami bahasa cinta akan membina kesedaran tentang bagaimana pasangan ingin dilayan.

Sumber:
1. Chapman, G. (2004). The 5 Love Languages The Secret of Love That Last. Northfield Publishing Chicago.
2. Tracey, A. D. (2019). Do love languages actually matter? Psychologists weigh in. Mic. https://www.mic.com/life/do-love-languages-actually-matter
3. Hazelwood, Z. J. (2017). Walking the walk, talking the talk: Love languages, self regulation, and relationship satisfaction. Personal Relationship, 24(2).


Previous Post
Fahami Seni ‘Menolak’ Permintaan
Next Post
Cara Segera Mengawal Rasa Cemas Yang Datang
natirahazira

Graduan ijazah sarjana dalam bidang kaunseling dari Universiti Sains Malaysia (USM). Pernah mendalami bidang psikologi klinikal selama dua tahun di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Kini bekerja sebagai kaunselor bagi sebuah NGO untuk kerja-kerja kemanusiaan.

0 Comments

Leave a Reply

15 49.0138 8.38624 1 0 4000 1 https://mindateduh.com 300 0