Fikir Berlebihan (Overthinking) – Hidup Hanya Di Masa Lalu & Masa Hadapan
‘Overthinking’ adalah perkataan yang tidak asing pada kita. Sebut sahaja overthinking atau fikir berlebihan, kita tahu bagaimana keadaannya – mengulang-ulang fikir tentang sesuatu, disulami pula dengan perasaan bimbang atau runsing. Kadang-kala kita mengkritik dan berkata buruk pada diri sendiri atas apa yang sudah berlaku.
Secara umumnya, berfikir secara berlebihan ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Ada masanya kita akan berfikir secara berlebihan terutama jika hal itu penting buat kita.
Namun ada orang yang mempunyai kecenderungan untuk selalu berfikir secara berlebihan dalam banyak keadaan. Fikiran atau suara hati seolah-olah tidak dapat didiamkan sehingga menganggu ketenangan. Peristiwa yang terjadi diulang dan diperbesarkan-besarkan dalam fikiran sehingga memenatkan diri sendiri.
Mungkin ada yang tertanya, bagaimana pula jika kita berfikir untuk menyelesaikan masalah. Tidakkah kita juga akan banyak berfikir?
Berfikir secara berlebihan (overthinking) dan berfikir secara mendalam (deep thinking) untuk menyelesaikan masalah adalah dua situasi yang berbeza.
Yang ingin kita bicarakan adalah perihal berfikir secara berlebihan yang melibatkan dua keadaan iaitu renungan (rumination) dan kerisauan (worrying).
Renungan biasanya melibatkan fikiran berulang-ulang tentang perkara yang telah berlaku contohnya:
“Saya sepatutnya tak diam bila dimarahi tadi”
“Kenapa mak cakap saya tak pandai macam kakak. Betul ke saya tak pandai?”
Kerisauan yang berlebihan pula apabila kita terlalu berfikir secara negatif tentang masa depan atau perkara yang belum berlaku.
“Saya mesti kena marah lagi esok”
“Saya tak yakin nak buat pembentangan depan semua orang esok. Saya takut buat benda memalukan”
Tabiat fikir berlebihan bukan hanya datang dalam bentuk ayat seperti di atas, tetapi juga dalam bentuk bayangan seperti terbayang situasi buruk yang akan berlaku.
Banyak kajian dijalankan menunjukkan kesan buruk berfikir secara keterlaluan kepada kesihatan mental, antaranya tidak dapat tidur yang berkualiti dan kesukaran membuat keputusan.
Dan apabila kesihatan mental telah terjejas, kecenderungan untuk berfikir secara berlebihan akan lebih meningkat. Proses ini berlaku dalam bentuk kitaran yang berulang.
Fikir berlebihan akan merompak kebahagiaan kita pada masa sekarang. Kita tidak hidup di masa sekarang tetapi melompat-lompat antara masa lalu dan masa hadapan. Kita merenung-renung perkara yang sudah berlaku dan terlalu risau dengan hal yang belum tiba.
Sumber:
Amy Morin. (2016). 6 Tips to Stop Overthinking. Psychology Today.