Sukar Berubah – Lihat Bagaimana Cara Fikir Kita
Adakah cara fikir kita boleh mempengaruhi pandangan terhadap diri sendiri dan membentuk kehidupan kita? Saya pasti ramai yang akan menjawab ya.
Benar, cara kita berfikir tentang kemampuan diri bukan sahaja mempengaruhi perasaan kita, malah memberi kesan secara tidak langsung kepada usaha dan apa yang ingin dicapai – sama ada kita akan tetap dengan tabiat lama atau mencipta tabiat baru.
Carol Dweck, seorang ahli psikologi daripada Universiti Standford mengkaji secara mendalam tentang jenis cara fikir iaitu fikiran tetap (fixed mindset) dan fikiran membangun (growth mindset) yang ada dalam diri ramai orang.
Apa Itu Fikiran Tetap (Fixed Mindset)
Cara fikir tetap adalah suatu kepercayaan bahawa kebijaksanaan dan kemahiran adalah tetap dan tidak dapat diubah. Orang yang mempunyai cara fikir begini percaya bahawa mereka ‘sudah memang begitu’, atau jika mereka tidak pandai dalam sesuatu perkara, mereka memang tidak pandai selama-lamanya.
Apa Itu Fikiran Membangun (Growth Mindset)
Manakala orang yang mempunyai cara fikir membangun percaya bahawa kebijaksanaan dan kemahiran boleh diasah dan dikembangkan dari semasa ke semasa.
Mereka tidak tersekat dengan kemampuan diri pada masa sekarang, tetapi percaya bahawa setiap detik adalah ruang dan peluang untuk berusaha lebih baik.
Dweck juga ada bertanya dalam Mindset: The New Psychology of Success:
“Apakah kesannya jika kita berfikir bahawa kebijaksanaan atau personaliti, adalah sesuatu yang dapat dikembangkan, berbanding jika kita fikir ia adalah suatu yang tetap dan sudah ditentukan?”
Sudah pasti motivasi dan usaha yang dalam mencapai apa yang dimahukan lebih baik. Golongan yang mempunyai cara fikir membangun tidak ada masalah untuk menerima kegagalan, kerana mereka percaya bahawa kegagalan dan kesilapan adalah peluang untuk membangunkan diri. Mereka menerima cabaran sebagai satu proses pembelajaran dan lebih bersemangat untuk mencuba lagi dan lagi.
Orang yang mempunyai cara fikir tetap pula cenderung untuk mengelak cabaran kerana takut gagal. Mereka menyembunyikan kesalahan, cepat putus asa dan tidak bersemangat untuk mengejar matlamat yang diingini.
KESIMPULAN
Persepsi kita terhadap diri sendiri boleh menentukan banyak perkara. Jika kita berfikir bahawa kualiti yang ada pada diri kita tidak berubah, maka kita akan sentiasa berusaha menunjukkan bahawa diri kita sentiasa betul dan tidak akan belajar daripada kesalahan.
Antara kata-kata menarik yang disebut oleh Dweck tentang kegagalan ialah:
“In the growth mindset, failure can be a painful experience. But it doesn’t define you. It’s a problem to be faced, dealt with, and learned from.”
Dalam erti kata lain, kegagalan memang diakui sebagai suatu yang menyakitkan. Tetapi kegagalan tidak menentukan harga diri kita. Kegagalan hanyalah masalah yang perlu diuruskan dan dipelajari.