Rasa Lemah Semangat Atau Rendah Efikasi Kendiri?
Ketika saya memilih tajuk efikasi kendiri (self-efficacy) untuk kajian ijazah sarjana, saya sebenarnya banyak memerhati anak-anak buah saya sendiri. Setiap daripada mereka mempunyai karakter dan personaliti yang berbeza-beza. Ada yang ke hadapan dalam bidang akademik dan ada pula yang lebih jelas minat dan kelebihan dalam bidang bukan akademik. Ada yang lebih nampak berani mencuba dan ada juga yang lebih banyak memerhati.
Saya yakin pemandangan ini juga menjadi perkara biasa yang dilihat oleh guru-guru di sekolah. Ada pelajar yang bersemangat menjawab soalan di dalam kelas. Ada yang mengelak dan lebih banyak berdiam diri.
Tetapi apakah sebenarnya yang membuatkan usaha, motivasi dan semangat yang ditunjukkan berbeza-beza dalam mengejar apa yang dimahukan? Daripada mana semangat ini datang? Adakah kerana mereka menganggap mereka tidak pandai dalam sesuatu subjek atau aktiviti? Atau ada faktor lain yang membuatkan seseorang lebih bersemangat berbanding yang lain?
Persoalan ini membawa saya kepada topik efikasi kendiri yang dipelopori oleh seorang ilmuwan dalam bidang Psikologi, Albert Bandura dibawah teori pembelajaran sosial (social learning theory).
Melalui teori ini, Albert Bandura percaya bahawa motivasi dan usaha yang dimiliki oleh seseorang bukan berpunca dari dalam diri sahaja. Kita mempengaruhi dan dipengaruhi oleh sikap, pemikiran, perasaan, persekitaran dan faktor-faktor peribadi yang lain.
Dan efikasi kendiri boleh menjadi kunci untuk kita lebih memahami mengapa semangat dan keyakinan setiap orang itu berbeza-beza. Jadi apa itu efikasi kendiri?
Apa Itu Efikasi Kendiri?
Efikasi kendiri boleh difahami sebagai tahap keyakinan atau sejauh mana rasa percaya diri terhadap kemampuan dan usaha untuk melakukan sesuatu. Menurut Bandura, rasa percaya pada kemampuan diri akan mempengaruhi tindakan, gaya berfikir, reaksi perasaan terutamanya dalam situasi-situasi yang mencabar sekali gus memberi kesan kepada usaha dan kegigihan seseorang.
Jika efikasi diteliti dalam ruang lingkup pembelajaran di sekolah, antara kesan-kesan yang dapat dilihat jika seseorang pelajar memiliki efikasi yang rendah adalah penangguhan kerja (procrastination), tidak melibatkan diri dalam kelas, tidak menyiapkan kerja rumah dan lemah semangat kerana menganggap suatu tugasan lebih susah sedangkan realitinya tidak begitu. Hal ini akhirnya boleh membawa kepada rasa stres dan cemas.
Manakala di tempat kerja pula, efikasi dapat dilihat daripada sudut prestasi kerja. Simptom yang lebih kurang sama dengan situasi di atas mungkin akan dihadapi oleh mereka yang rendah rasa percaya dengan kemampuan diri.
Seorang pekerja yang rendah efikasi kendiri akan berasa lebih rendah diri, rasa kurang berkebolehan daripada orang lain dan tidak mampu untuk memikul tugas mahupun menyelesaikan masalah tertentu.
Konsep efikasi ini terpakai dalam pelbagai situasi dan sudah dikaji dalam banyak aspek contohnya pemulihan dari masalah ketagihan, prestasi kerja malah perubahan sikap dalam menurunkan berat badan. Jadi bagaimana untuk meningkatkan efikasi kendiri?
Faktor Yang Membentuk Efikasi Kendiri
Menurut Bandura, ada empat tiang seri utama yang membentuk efikasi. Antaranya:
1. Penguasaan Pengalaman (Mastery Experience)
Penguasaan pengalaman diperoleh apabila seseorang telah belajar sesuatu daripada pengalaman – cabaran dapat diatasi dengan baik, matlamat dapat dicapai dan kemahiran tertentu telah dikuasai.
Walau bagaimanapun, jika seseorang hanya terdedah dengan cabaran yang kecil dan mencapai kejayaan yang mudah dan cepat, maka mereka akan cepat dikalahkan dengan kegagalan.
2. Pengalaman Dari Memerhati Orang Lain (Vicarious Experience)
Faktor kedua lebih berkait dengan persekitaran luar iaitu sejauh mana sesuatu dapat dipelajari daripada pemerhatian atau teladan yang ditunjukkan orang lain.
3. Dorongan Lisan (Verbal Persuasion)
Dorongan lisan pula biasanya hadir dalam bentuk dorongan, pesanan atau sokongan yang diberikan oleh orang-orang di sekeliling sama ada boleh melakukan sesuatu perkara atau tidak.
Seseorang yang mendapat dorongan positif oleh orang di sekeliling untuk melakukan sesuatu perkara, lebih tinggi kebarangkalian untuk mereka melakukan usaha dengan gigih. Mereka juga tidak mudah ragu dengan kemampuan diri apabila berhadapan dengan masalah.
4. Keadaan Fisiologi (Physiological State)
Manakala faktor fisiologi adalah berkait dengan apa yang kita fikirkan dan rasa. Jika ada keadaan yang boleh mencetuskan rasa takut, seterusnya membuatkan badan rasa menggeletar dan berdebar-debar, maka hal ini juga boleh mempengaruhi kadar efikasi.
Walau bagaimanapun, dengan kemahiran menguruskan emosi dan fikiran, maka reaksi fisiologi dapat dikawal dan diseimbangkan, sekaligus efikasi dapat dicapai.
Secara kesimpulannya, efikasi kendiri boleh menjadi salah satu pintu yang dapat dibuka untuk kita jenguk dan faham tindakan dan usaha yang ditunjukkan oleh seseorang dalam mencapai apa yang dimahukan.
Apabila kefahaman dicapai, kita tidak akan mudah memukul rata sikap dan situasi setiap individu. Strategi yang sesuai dapat digunakan bagi membantu diri kita sendiri atau orang lain untuk meningkatkan efikasi dalam diri.
Rujukan: Natirah Azira, G. (2022). Application of cognitive restructuring techniques on an undergraduate student with low academic self-efficacy.
Sumber gambar: jcomp